Saturday 16 July 2016

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.



Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, 31.

Seramai 84 orang disahkan terbunuh dalam insiden itu termasuk 10 kanak-kanak, 202 lagi cedera dan 53 pula kritikal.

Sementara itu, 25 orang mangsa lagi menjalani sokongan nyawa.

Pendakwa raya berkata, Lahouaiej-Bouhlel telah memandu trak 19 tan sepanjang dua kilometer di Promenade des Anglais dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum polis menembaknya mati.

Saspek telah melepaskan tembakan pertama dengan menggunakan pistol automatik sebaik sahaja menghampiri hotel Negresco dan kali kedua selepas 300 meter, semasa dia menghentikan trak itu dekat hotel Palais de la Mediterranne dan dia ditembak mati.

Polis turut menemui magazin peluru, pistol palsu, replika M16 dan kalashnikov serta bom tangan.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai tiga orang anak tetapi sudah berpisah dengan isterinya.

Thursday 16 June 2016

PKR SAHKAN SEORANG KETUA CABANG PKR YANG JUGA BEKAS AHLI PARLIMEN DITAHAN PIHAK SPRM BERKAITAN KES RASUAH.



Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manickavasagam ditahan berkaitan kes rasuah, malam Rabu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, bagaimanapun pemimpin parti itu dibebaskan dengan ikat jamin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi Khamis.

“Pimpinan tertinggi parti akan bertemu dengannya secepat mungkin untuk meminta penjelasan.

“Setakat ini laporan mengenainya masih samar, tak tahu apa sebabnya dan beliau pun masih dalam siasatan jadi kita tak mahu membuat penilaian awal,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Pada masa sama, Tian Chua menggesa supaya SPRM menjalankan tugas dan menyiasat kes ini dengan telus
tanpa mengaitkannya dengan pilihan raya kecil (PRK).

“Jika penahanannya dikaitkan dengan Pakatan Harapan dan calonnya ia akan dilihat sebagai bersifat politik,” katanya.

Ditanya bilakah pimpinan tertinggi parti akan bertemu dengan Manickavasagam, katanya mungkin selepas PRK.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi parti tidak akan menutup sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana ahli atau pemimpin parti itu.

Pada Rabu, dilaporkan bekas ahli parlimen PKR itu didakwa kerana menerima RM30,000 rasuah daripada seorang kontraktor.

Sumber mendedahkan Manickavasagam turut disiasat kerana didakwa menipu wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa Orang Kurang Upaya. – mstar

Wednesday 15 June 2016

PEGAWAI KHAS ROSMAH MANSOR DIHALANG OLEH BUDAK-BUDAK PAN DARI MENGHADIRI SIDANG MEDIA RAFIZI DI PEJABAT PAN KUALA KANGSAR.



KUALA KANGSAR:
Kecoh seketika sidang akhbar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli di Ibu Pejabat Amanah (PAN) Perak hari ini apabila Pegawai Khas Isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor datang ‘tanpa diundang’ ke majlis itu.

Lebih kecoh apabila petugas PAN menghalang Rizal memasuki ruang sidang akhbar dengan alasan beliau tidak dijemput menghadirinya dan kekalutan itu berlangsung kira-kira 15 minit.

Rizal ketika ditemui wartawan di luar bangunan itu berkata tindakan pembangkang menghalangnya masuk membuktikan mereka tidak berani berdepan dengan kebenaran.

“Dia (Rafizi) ini berani cakap belakang saja. Cakap depan tidak berani. Saya bukan nak jumpa dia sangat, kalau nak jumpa dia, bila-bila saya boleh jumpa.

“Saya cuma nak dengar apa dia cakap. Tetapi malangnya saya dihalang masuk pada sidang media dia. Kenapa? Takut pembohongannya terbongkar,” katanya.

Katanya, laporan polis mungkin akan dibuat jika Rafizi terus menerus membuat pembohongan terhadap Rosmah dan isu jet.

“Buat masa ini kita masih dalam peringkat perbincangan lagi dan meneliti pembohongan dibuat Rafizi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menghadiri ceramah perdana PAN malam ini yang diketuai Rafizi, Rizal berkata:”Saya akan datang kalau dijemput.”

PAN malam ini dijangka mengadakan ceramah pentas perdana yang bertajuk ‘
#Bongkar. Kita dapat GST, mereka dapat jet’.

Selain Rafizi, Presiden PAN Mohamad Sabu juga dijangka menghadirinya.

Friday 10 June 2016

PAS GESA KERAJAAN PERSEKUTUAN NAIKKAN HARGA PADI DAN SUBSIDI, TURUNKAN PERATUS POTONGAN KUALITI PADI 17% HINGGA 15% SERTA AKAN BAWA SUARA PETANI KE PARLIMEN



Parti Islam Se-Malaysia PAS amat bersimpati dengan nasib penanam padi khususnya di Sungai Besar yang tidak dapat menikmati peningkatan pendapatan hasil jualan padi.

Dengan harga padi semasa RM1,200.00 bagi 1 tan, kenaikan subsidi buat pertama kali sebanyak hanya RM52.00 sejak 25 tahun dan pemotongan dinaikkan 20% menyebabkan hasil pendapatan bersih petani masih kurang dari RM1,000.00 sebulan.


Justeru, PAS mendesak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berkuasa penuh menetapkan harga belian padi dan potongan kualiti padi mempertimbangkan cadangan PAS seperti berikut ;


1- Kadar Harga Padi dinaikkan dari RM1,200.00 kepada RM1,300 ke RM1,350.00
2- Kadar Subsidi dinaikkan dari RM300.00 kepada RM500.00
3- Kadar Potongan kualiti padi diturunkan dari 20% kepada 17% ke 15%


Kadar baru yang dicadangkan oleh PAS ini membolehkan petani memperoleh sekurang-kurangnya RM1,500.00 ke RM1,600.00 sebulan.


PAS menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan secara serius cadangan ini, dan PAS akan terus memperjuangkan suara dan keluhan petani ini ke Parlimen.


YB Dr Abd Rani Bin Osman
Calon Anda Parlimen P.093 Sg. Besar

PENDEDAHAN OLEH KETUA PENERANGAN PAS DAP AKAN MERAYAKAN JIKA PAN DAPAT UNDI LEBIH DARI PAS PRK KUALA KANGSAR DAN SG BESAR DENGAN YAMSENG ... ADUN DAP SEKINCHAN NAIK ANGIN SATU BADAN.



ADUN Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim mempertahankan kenyataannya untuk meraikan kejayaan dengan menimun arak sekiranya Parti Amanag Negara (PAN) mendapat undi lebih banyak berbanding PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, beliau cukup kesal dengan tindakan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang mempersoalkan hak beliau sebagai orang bukan Islam untuk minum arak, kerana perkara itu jelas bertentangan dengan perlembagaan negara.

Jelas Suee Lim lagi, kenyataannya untuk meraikan kejayaan dengan meminum arak langsung tidak ada kaitan dengan orang Islam.

“Saya cukup kesal kerana mereka (PAS) mempersoalkan hak saya sebagai bukan Islam untuk minum arak. Saya ada hak untuk minum arak bersama rakan-rakan saya yang bukan Islam, mereka tidak sewajarnya mempertikaikan hak saya untuk minum.


“Itu hak saya mengikut perlembagaan dan harus dihormati hak saya bukan Islam untuk minum, sama seperti orang Islam meminta bukan Islam menghormati hak orang Islam.

“Saya minta dalam konteks ini, saya tidak pernah menjemput orang Melayu Islam datang bersama saya untuk minum (arak), itu saya tahu tidak boleh, orang Islam minum (arak) tidak boleh…hukumnya haram,” katanya hari ini.

Semalam, Joceline Tan melalui kolumnya di akhbar The Star mendedahkan Suee Lim dalam sebuah ceramah di Sungai Besar berkata jika PAN memperoleh undi lebih banyak daripada PAS, “kami boleh raikan dengan Carlsberg, Tiger dan or kau (Guinness Stout)”.

Hari ini, Nasrudin melalui Facebooknya membidas Suee Lim angkuh dan menegaskan ADUN Sekinchan itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkenaan memandangkan calon PAN yang bertanding di kedua-dua PRK itu adalah umat Islam.

Friday 3 June 2016

PAN CEMARI MUKTAMAR PAS KE-62 DENGAN TAKTIK KOTOR




Hari terakhir Muktamar PAS ke-62 dicemari dengan taktik kotor PAN

Tinjauan mendapati para penyokong PAN cuba mensabotaj sepanduk yang diletakkan di sepanjang jalan sempena muktamar dengan menutupnya dengan bendera parti serpihan itu.

Tindakan mensabotaj perjalanan muktamar itu juga dipercayai susulan rasa tidak puas hati penyokong PAN terhadap kenyataan Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaitkan penubuhan parti itu dengan perumpamaan ‘arak’ dan ‘mabuk’.

Tinjauan mendapati sepanduk yang ditampak di tiang di sepanjang kawasan jalan Kota Bharu menuju Pengkalan Chepa di mana berlangsungnya muktamar, ditutup dengan bendera PAN.

Sementara itu, perwakilan yang ditemui di PUTIK rata-rata kecewa dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai tidak profesional dan biadap serta tidak berakhlak.

Monday 23 May 2016

TUDUHAN HABUAN PEREMPUAN BERURUSAN DENGAN KERAJAAN SELANGOR LANGKAH PERTAMA RAFIZI NAK GULINGKAN AZMIN SEBAGAI MB SELANGOR.


Tangkap layar perbualan di kumpulan Whatsapp ‘SOLIDARITY FOR ANWAR’ tersebar di internet, menunjukkan Rafizi berkata menerima aduan bahawa ada “permintaan perempuan”, selain wang, ketika berurusan dengan kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan sehari kemudian, Ahli Parlimen Pandan yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR itu mengesahkan perbualan tersebut, dan antara lain menjelaskan ia melibatkan individu tertentu dan tidak merujuk mana-mana ADUN atau pegawai kerajaan negeri.

Nama Ahli Parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita Keadilan Pusat juga dipetik dan disebut memberi gambaran seolah-olah beliau juga dibabit dan dikaitkan dalam pendedahan ini.

“Pendirian saya tentang apa yang betul dan salah mungkin berbeza dengan orang lain. Saya percaya ahli PKR perlu dilihat ‘lebih bersih daripada bersih’,” katanya.

“Apabila spekulasi seumpama ini timbul dan kita gagal memberikan jawapan yang baik, kita tiada beza dengan 1MDB,” katanya lagi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam reaksinya menyifatkan dakwaan tersebut sebagai bacul dan berniat jahat, serta kempen fitnah terancang terhadap kerajaan serta penjawat awam negeri itu.

Beliau juga mengalu-alukan pihak yang mempunyai bukti terhadap dakwaan itu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Setakat ini bolehlah ditafsirkan tuduhan dan pendedahan ini tidak lebih dari suatu cara serang hendap tikam belakang Rafizi yang mau tumbangkan Azmin sebagai MB Selangor.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa kedua mereka tidak mampu bersemuka bertentang mata sejak gagalnya Langkah Kajang yang mau melantik Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail Presiden PKR sebagai MB Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebaliknya diserahkan kepada Azmin Ali.

Segala penat lelahnya tidak tercapai .. lain yang di gait lain pula yang gugur.

Cara Rafizi mengurus dan mentadbir PKR sebagai Setiausaha Agungnya juga ramai yang tidak berapa selesa kerana gayanya yang lebih ikut suka hatinya dan hanya akan menjawab terus kepada Presiden PKR tanpa perlu merujuk atau berbincang kalangan pimpinan pusat. Cara yang menyinggung perasaan ini memang diketahui umum.

Dipihak Azmin pula ramai berpendapat keakhraban dan keintiman Rafizi dengan Anwar Ibrahim dan keluarga dicemburui oleh Azmin.

Bermula dengan pemilihan PKR tahun 2014 lalu dimana Anwar Ibrahim dikatakan merestui dan menyokong dibelakang tabir kumpulan penentang kartel Azmin Ali terdiri dari Saifuddin Nasution dan anak perempuannya Nurul Izzah.

Azmin mulai merasakan kedudukannya semakin tergugat dan pasti dicabar pada pemilihan PKR akan datang. Kalau dulu dari Saifuddin Nasution kali ini tentangan tersebut datang dari Rafizi Ramli sendiri dengan Saifuddin Nasution pula sebagai rakan regunya.

Corak politik Rafizi kebelakangan ini juga lebih daripada membina nama dan aura dengan membuat gempar sana sini dengan "pendedahan eksklusif".

Azmin pula lebih kepada membina empayar penguasaanya dalam PKR dengan memberi imbuhan jawatan kepada para penyokongnya yang difikirkan mampu menterjemahkan dengan sokongan dan undi waktu pemilihan nanti.

Sasaran Azmin kali ini bukan mau mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden sebaliknya mau rampas jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan).

Gandingan beliau dikatakan ialah salah seorang naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Akin.

Sebagai mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat selama 2 penggal sudah pasti pengaruhnya kalangan AMK sebanyak sedikit masih kuat dan mampu menyumbang sokongan hingga membawa kemenangan kepada Azmin Ali nanti.

Dipihak wanita pula Ketua Wanita PKR Pusat memang terkenal sebagai amat kuat menyokong Azmin sebab itu sasaran utama dan pertama Rafizi dalam pendedahan inilah mensasarkan mucung meriammnya kepada Zuraida Kamaruddin terlebih dahulu.

Ada yang mengatakan perbuatan ini cuba dikaitkan berlaku kalangan anggota Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang rapat dengan Zuraida Kamaruddin.

"Pendedahan habuan perempuan" ini lebih merupakan suatu amaran dan isyarat nyaring dari kelompok Rafizi dalam PKR bahawa anak bulan pertempuran kem Kak Wan dengan dibantu Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah lawan kartel Azmin Ali sudah kelihatan.

Omak meramalkan suatu pertempuran menang jadi arang kalah jadi abu .. menang bertempik parti berkecai.

Wednesday 18 May 2016

KEGAGALAN PKR DAN PAN MERAIH SOKONGAN MELAYU KEPADA PAKATAN HARAPAN DILIHAT PUNCA MENGAPA DAP TETAP BERDEGIL MAU BERSAMA-SAMA DENGAN MAHATHIR TANPA MEMPEDULIKAN AMARAN KERAS ANWAR IBRAHIM



DAP semalam menyatakan ketegasan untuk tetap bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekaligus menyokong Deklarasi Rakyat meskipun selepas diberi peringatan dan amaran keras oleh bekas Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DAP akan tetap sokong Deklarasi Rakyat tapi kita akan buat perubahan sedikit sesuai dengan perjuangan DAP kata Tony Pua, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Anwar melalui surat lapan muka surat bertulis tangan itu memberi peringatan terhadap penglibatan cergas beberapa pemimpin PKR dan Pakatan Harapan dengan Tun Mahathir dalam gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat. Ada yang menjadi pelupor dan ada pula yang sambut menjadi penganjur peringkat negeri.

Tony turut menganggap kerjasama dengan Tun Mahathir itu memberi peluang orang ramai lebih mengenali Pakatan Harapan.

"Apa yang penting Tun Mahathir ada bersama pembangkang sebab pengaruh Tun Mahathir itu lebih besar.Tapi Tun Mahathir pun percaya dapat sokongan daripada Pakatan Harapan," katanya.
 
Kelmarin, surat tersebut disifatkan palsu oleh seorang pemimpin PKR namun Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin hari ini seolah-olah mengesahkan kesahihan surat tersebut apabila memberitahu surat itu sebagai teguran Anwar kepada semua pemimpin PKR untuk kembali ke pangkal perjuangan supaya ingat apa tujuan sebenarnya PKR ditubuhkan pada tahun 1999 lalu.

DAP adalah parti yang cukup bijak ambil kesempatan jika ianya memberi untung kepada perkembangan DAP dengan melihat pergolakan politik secara realiti.

Terkuburnya Pakatan Rakyat tahun lalu dengan terbinanya Pakatan Harapan secara gopoh, gelojoh dan terburu-buru sebagai galang ganti setelah PAN ditubuhkan dengan harapan menggunung dapat mengisi kekosongan ditinggalkan PAS.

Tujuan PAN ditubuhkan dengan mendapat restu dan sokongan moral dan material serta dana dari DAP tidak lain tidak bukan ialah meraih sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu kepada Pakatan Harapan terutamanya sokongan kepada DAP yang sudah terbentuk suatu suasana diminda rakyat sebuah parti yang agak kurang mesra dengan masyarakat Melayu.

Tinjauan sama yang dilakukan oleh beberapa berapa badan kaji selidik politik tanah air sepakat mendapati bahawa sejak Pakatan Rakyat berkubur dengan PAS tidak berada dalam Pakatan Harapan sokongan masyarakat Melayu kepada Pakatan Harapan terutamanya DAP cukup meruncing sehingga merunsingkan para pemimpin ketiga parti berkenaan DAP/PKR/PAN. Himpunan Bersih 4.0 adalah indikator terbaik bagi menyokong pandangan dan pendapat ini. Nisbah masyarakat Melayu dengan bukan Melayu yang hadir memberikan sokongan kepada Bersih 4.0 boleh dikatakan 9:1. Sembilan bukan Melayu dan satu Melayu.

Tersentap dengan respon ini maka pelbagai usaha telah dijalankan oleh Pakatan Harapan terutamanya DAP yang dikatakan paling teruk terjejas dengan tsunami perubahan sokongan masyarakat Melayu ini.

Sokongan keras dan tegas DAP kepada Mahathir walaupun ditegur pedas oleh Anwar tetapi tidak diambil pusing sedikit pun menunjukkan betapa seriusnya terhakis sokongan masyarakat Melayu kepada Pakatan Harapan dan DAP.

PKR dan PAN dilihat gagal untuk memainkan dan menjalankan peranan seperti diharapkan.

Setiap ceramah sama perdana maupun kelompok dikawasan maupun negeri cukup ramai penduduk Melayu kehadiran cukup hambar dan suram sekali. Amat jauh bezanya ketika zaman PAS bersama-sama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Kena akui ianya suatu petanda betapa selama ini sokongan masyarakat Melayu sejumlah amat besarnya adalah sumbangan dan peranan PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sosok tubuh dan aura serta karisma yang dimiliki Anwar Ibrahim sekali pun masih gagal untuk menyaingi peranan dan aura PAS itu sendiri dikalangan masyarakat Melayu.

Maka dengan itu DAP terpaksa bertindak angkuh seperti kacang lupakan kulit dengan tidak menghirau langsung segala teguran dan kritikan pedas Anwar Ibrahim walaupun sedar kedudukan DAP kini banyak disumbangkan akan sosok Anwar Ibrahim itu sendiri.

DAP demi kuasa dan pengaruh akan menyokong siapa jua pada pemikirannya boleh memberikan sumbangan sokongan dan undi hatta dari pemimpin yang pernah mencemuh, mencela dan menghina partinya.

Pemimpin yang pernah suatu ketika dijaja merata negara sebagai amat zalim memenjarakan Setiausaha Agungnya kerana kononnya membela gadis bawah umur menjadi mangsa rogol VVIP namun atas faktor kuasa dan nkedudukan sampai sanggup dilupakan dan dimaafkan dengan alasan picisan berjiwa besar konon.

Gelagat degil keras kepala DAP ini sudah cukup memberikan gambaran betapa DAP juga adalah penganut kepada politik Machiavelli Matlamat Menghalalkan Cara. Tiada kawan dan lawan yang kekal selain kepentingan diri. Tiada lawan dan kawan yang kekal . Ketika berkuasa dan selagi mampu memberi keuntungan dan kesenangan selagi itu sokongan tidak berbelah bagi dicurahkan.

Sebab itu kata-kata para peramal politik negara pernah mengukapkan Jangan Terkejut Jika DAP Suatu Hari Akan Bersama-sama Dengan Barisan Nasional Memerintah Negara.

Jika difikirkan secara mendalam maka ada kebenarannya.

PKR pasti tersentap dengan pendirian DAP ini namun bagi DAP "AKU PEDULI APA!!!"

PERCUBAAN RAMPAS KUASA DALAM PKR DILIHAT PUNCA ANWAR IBRAHIM UTUS SURAT PEDAS SEBAGAI TANDA AMARAN DAN PERINGATAN APA TUJUAN PKR DITUBUHKAN.



Tiada siapa boleh menafikan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dulu Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan pada tahun 1999 atas kerana Anwar Ibrahim yang dipecat pada tahun 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemecatan yang menyebabkan laungan Reformasi bergema bermula di Kuala Lumpur seterusnya merebak keseluruh negara.

Dua minggu selepas dipecat Anwar Ibrahim suatu malam ketika beliau sedang mengadakan sidang media sepasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK) dengan bertopeng "balaclava" telah memecah masuk rumah Anwar Ibrahim dimana sidang media sedang diadakan, tangkap dan dibawa ke Bukit Aman atas kesalahan meliwat pemandu peribadinya.

Cara penangkapan yang mencetuskan kemarahan dan kritikan keras dari rakyat dan juga masyarakat antarabangsa.

Anwar Ibrahim tidak direman dibawah Seksyen 117 Prosedur Kanun Jenayah sebaliknya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Rahim Noor beliau ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Ketika itu kisah Anwar diseksa dan dipukul oleh Rahim Noor sudah pun didedahkan di beberapa laman web pro Reformasi.

Ianya menjadi kenyataan dan suatu kejutan apabila lebih kurang 5 hari kemudiannya Anwar dilihat bermata lebam ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk menghadapi pertuduhan meliwat pemandu peribadinya buat kali pertama sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tun Mahathir tanpa segan silu dengan melulu terus membuat kenyataan yang mata lebam itu hasil perbuatan Anwar menumbuk dirinya sendiri dengan alasan untuk raih simpati masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Begitu sekali tahap pemikiran Mahathir ketika itu untuk memperbodoh, menghina dan memperlekehkan kebijaksanaan akal rakyat semata-mata mau melindungi kekejaman yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara.

Insiden mata lebam itu menyemarakkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pemerintahan Tun Mahtahir dan UMNO/BN.

Mahathir mendapat nama jolokan sebagai Mahafiraun, Mahazalim, Mahadiktator dan lain-lain maha.

Mata lebam Anwar Ibrahim dijadikan ilham untuk mencipta logo atau lambang Parti Keadilan Nasional tahun 1999 dan akhirnya bila berkabung dengan Parti Rakyat Malaysia lambang dan logo yang sama dikekalkan dengan hanya mengubah warna merah di kiri kanan lambang berkenaan.

Laungan dan slogan PKN ketika itu ialah Demi Keadilan, Kebebasan dan Kebenaran.

Anwar Ibrahim dijaja sebagai mangsa kezaliman, penganiayaan, korupsi, kronisme, nepotisme, kerakusan kuasa, salah guna kuasa, beberapa agensi penguatkuasa undang-undang termasuk PDRM, Jabatan Peguam Negara hatta sistem Kehakiman telah menjadi alat dan perkakas kepada Sang Penguasa Tun Dr Mahathir Mohamad ( ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad).

Suatu Siasatan Di Raja dijalankan telah membuktikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah membelasah Anwar Ibrahim sehingga separuh mati dibiarkan tanpa diberikan rawatan perubatan dan seterusnya diheret kemahkamah sehingga dijatuhkan hukuman penjara.

Akibatnya sokongan orang Melayu kepada UMNO terus menjunam. Parti pembangkang memperolehi lebih 60 peratus undi masyarakat Melayu. UMNO/BN dibawah Mahathir diselamatkan oleh pengundi-pengundi Tionghua dan India selain dari Sabah/Sarawak.

PRU ke-10 tahun 1999 adalah titik permulaan rakyat berani melakukan perubahan atas landasan kemarahan dan kebencian melampau mereka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

PKR untuk survive dalam arus perdana politik negara selama ini adalah kerana susok tubuh Anwar Ibrahim yang dijadikan ikon.

Dipendekkan cerita PKR itu Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim itu PKR.

Jika ada mana-mana pemimpin dalam PKR merasakan bahawa Anwar Ibrahim sudah "over the hill" atau tidak lagi relevan kepada perjuangan PKR untuk harungi cabaran PRU ke-14 nanti, mereka silap besar.

Ini kerana sudah ada suatu gelombang yang mau dicetuskan oleh kelompok pemimpin PKR yang diketuai Timbalan Presiden PKR yang juga Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dengan dokongan dan sokongan kuat dari para kartelnya mau mengambil alih pucuk kepimpinan parti dari Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (Kak Wan) dengan mengambil kesempatan ketika Ketua Umum PKR DSAI kini sedang merengkuk dalam penjara selama 5 tahun atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Deklarasi Rakyat @ Deklarasi Mahathir dilihat oleh kartel ini sebagai pucuk dicita ulam mendatang bagi rancangan mereka untuk dijadikan kenyataan. Mau deklarasi itu dijadikan landasan dan seterusnya batu loncatan untuk mencapai cita-cita merampas pucuk kepimpinan PKR.

Keintiman dan keghairahan agak melampau dan luar biasa dari lazimnya Azmin Ali di beberapa himpunan bersama Mahathir atas nama Deklarasi Rakyat mulai dicurigai oleh Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim sebagai yang pernah begitu rapat dengan Mahathir faham dan tahu benar gaya pemikiran dan sepak terajang politiknya telah menghidu sesuatu yang tidak kena sehingga terpaksa mengeluarkan surat pedas 8 muka yang kini sudah pun dibaca dan ditelaah oleh sekian ramai rakyat jelata.

Surat itu jika dibaca yang tersirat lebih kepada suatu amaran dari peringatan. Anwar ingin menyampaikan suatu mesej dan isyarat yang jelas sama ada mau bersama-sama dengan beliau atau pergi bersama-sama haluan yang dibawa oleh Tun Mahathir. "My way or highway."

Terkejut dengan pendedahan awal oleh FB AMK Pulau Pinang yang dinafikan sekeras-kerasnya salah seorang Naib Presiden PKR yang dulu pro Anwar Ibrahim tegar kini diketahui cukup kuat mendokong dan menyokong Azmin Ali, Shamsul Iskandar Akin kemudiannya ditepis pula oleh Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung PKR Rafizi Rafizi sebagai tulin dan wujud rakyat sudah dapat menjangkakan kesmua ini disebabkan sudah ada berlaku percubaan perebutan kuasa pihak tertinggi dalam PKR.

Jika hasrat kartel Azmin ini mau diteruskan seandainya mampu pun ambil alih penguasaan dan kempimpinan PKR walaupun demi mau melepaskan PKR dari terus terjerat dan dilihat sebagai parti anak beranak,kaum kerabat sepupu sepapat yang pasti PKR akan menuju kehancuran.

Tanpa Anwar Ibrahim atau mana-mana yang mempunyai darah pertalian dengannya, PKR pasti akan hancur lebur.

Jika Azmin ingat disebabkan memegang jawatan Dato' Menteri Besar Selangor sudah cukup ampuh untuk mengangkat PKR keperingkat lebih gagah dari sedia ada, ini adalah suatu kesilapan besar.

PKR akan hanya mampu berdiri teguh diarus politik perdana negara jika dipimpin Azmin Ali dengan syarat jika mendapat restu dan sokongan padu 100 peratus dari Anwar Ibrahim. Jika tidak umpama menang sorak kampong bukan lagi tergadai tetapi hancur berkecai.

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...