Thursday, 31 December 2015

HAK ORANG AWAM MEMPERTAHANKAN DIRI DALAM MENDEPANI KES JENAYAH ADA HADNYA DAN BUKANYA SUATU YANG MUTLAK HINGGA BOLEH MEMBUNUH PENJENYAH SEWENANG-WENANGNYA.


Hak dan had orang awam mempertahankan diri dalam mendepani kes jenayah, bukan sesuatu yang mutlak hingga mereka boleh membunuh penjenayah sewenang-wenangnya.

Orang ramai perlu memahami hak dan had itu seperti termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata seksyen berkenaan menjelaskan hak dan had mempertahankan diri yang termaktub, bukan saja untuk orang awam tetapi juga anggota polis sendiri.

"Ramai orang tidak tahu had hak mempertahankan diri itu. Seksyen 99 Kanun Keseksaan menjelaskan dengan jelas setakat mana hak mempertahankan diri yang boleh digunakan oleh orang ramai.

"Bukan saja untuk orang ramai, untuk kami (polis) pun ada hadnya. Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak.

Jika ada orang nak curi atau samun, kita tidak boleh bunuh mereka sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau mengulas kisah seorang lelaki yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyerang dua lelaki yang dikatakan menceroboh rumahnya di Kampung Labuhan, Kerteh, Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian itu, seorang penceroboh maut ditikam lelaki terbabit, manakala rakannya cedera dan dapat ditangkap ketika cuba melarikan diri.

Kisah terbabit mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasib lelaki itu dan menuntut supaya nasibnya dibela.

HADIAH TAHUN BARU 2016 ... MULAI TENGAH MALAM INI HARGA RON95 TURUN 10 SEN SELITER, RON97 TURUN 20 SEN SELITER DAN DIESEL TURUN 30 SEN SELITER.


Bermula tengah malam ini, petrol RON 95 dijual dengan harga baru pada RM1.85 seliter, manakala RON97 pula turun 20 sen menjadi RM2.25

Harga diesel pula turun 30 sen kepada RM1.60 daripada RM1.90.


Pengurangan itu berikutan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus menjunam.

DEMONSTRASI AMAN BANTAH TPPA 23 JANUARI 2016 DATARAN MERDEKA ... PAS KERAH AHLINYA TURUN BERIKAN SOKONGAN.



PAS akan mengerahkan ahlinya untuk menyertai Demonstrasi Rakyat Bantah TPPA pada 23 Januari 2016 bagi membantah Putrajaya menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu, kata pengarah Pusat Penyelidikan Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Menurutnya, perjanjian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi tetapi akan menjurus kepada persaingan ketenteraan.

"Bagi pihak PAS berhubung isu TPPA ini, sudah dimaklumkan dalam muktamar yang lepas, kita sebulat suara setuju dengan usul supaya kerajaan tidak tandatangani TPPA.

"Muktamar PAS konsisten PAS tolak perjanjian TPPA, sebagaimana dinyatakan dengan pihak lain. Ia beri kesan buruk bukan sahaja kepada negara tetapi (beri) kesan kepada ekonomi.

"Laut China Selatan (dijadikan) sebagai taruhan. Dengan menandatangani TPPA ini, ia akan timbulkan persaingan bermula daripada ekonomi dan menjurus persaingan ketenteraan yang sekarang ini pun dah berlaku antara China dan Amerika di wilayah Laut China Selatan," katanya pada satu sidang media Bantah TPPA di Kuala Lumpur hari ini.

Demonstrasi perhimpunan aman yang dijangkakan dihadiri ribuan peserta itu akan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Bantah TPPA di Dataran Merdeka.

Wednesday, 30 December 2015

TRANSNASIONAL MAU TAMBANG BAS EKSPRES DI NAIKKAN.



Syarikat bas ekspres terbesar di Malaysia Konsortium Transnasional Bhd (KTB) merayu kepada kerajaan agar menaikkan kadar tambang selepas lama tertangguh.

"Kos operasi kami meningkat memandangkan kejatuhan nilai ringgit dan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kos operasi, termasuk penyelenggaraan dan alat ganti, semakin meningkat tetapi kami tidak menyalurkannya kepada pengguna," kata Pengarah Urusan Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, tanpa mendedahkan sejauh mana kenaikan kos kerana syarikat itu masih lagi menelitinya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) Nadicorp Holdings Sdn Bhd dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi penyelidikan aplikasi komersil getah asli terepoksida (Ekoprena) dan getah asli nyah protein (Pureprena) untuk tayar.

Nadzmi juga merupakan Pengerusi Eksekutif Nadicorp, konglomerat beberapa syarikat terlibat dalam pengangkutan bas awam, termasuk KTB.

Pada Mac tahun ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kenaikan tambang bagi perkhidmatan bas ekspres dan teksi.

Bagaimanapun, kerajaan hanya meluluskan kenaikan tambang untuk teksi, dan menangguhkan kenaikan tambang bagi perkhidmatan bas ekspres.

Pada majlis pemeteraian MoA itu, Pengerusi LGM, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, penyelidikan yang dijalankan di kemudahan LGM di Sungai Buloh dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom, membuktikan tayar getah asli sangat baik dengan prestasi cengkaman waktu basah.

Kerjasama antara LGM dan Nadicorp adalah untuk pengeluaran 500 tayar yang akan digunakan oleh bas ekspres di bawah KTB mulai 2016 hingga 2018.

HINA SULTAN JOHOR DALAM LAMAN FACEBOOK PEGAWAI PEMASARAN SYARIKAT PENGIKLANAN DIDENDA RM20,000



JOHOR BAHRU: Seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pengiklanan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen menghina Sultan Johor dalam laman Facebook.

Tertuduh, Adnan Mohd Yunus, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Disember lalu, kira-kira jam 2 petang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai seorang pengguna Facebook.

Adnan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi itu secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di laman Facebook Astro Awani dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain.

Berdasarkan fakta kes, antara komen yang dimuat naik ialah 'Sultan dan kerabat jangan menganiaya orang... ni kalau di Johor segala bisnes orang awam semua kerabat nak sapu bersih. Allah ambil sesuatu yang paling Sultan sayang je... anak yang dia paling sayang'.

Bagi kesalahan itu, Adnan didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

KOLEKSI GAMBAR BAHANA BAUKSIT LAUT BERTUKAR MENJADI MERAH.



Aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan memberi kesan terhadap Pantai Beserah di Kampung Batu Hitam apabila air laut bertukar menjadi merah mulai semalam.

Penduduk tempatan sempat berkongsi gambar-gambar ‘laut merah’ yang dimuat naik di Facebook Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) sejak pagi semalam, yang menunjukkan perubahan dalam warna yang dikatakan berlaku apabila hujan lebat.

Seorang ahli kumpulan itu, Afdillah Black Stone, menjelaskan secara ringkas bahawa senario itu dapat dilihat selepas hujan yang berlaku semalam di Kampung Batu Hitam.

“Masa Musim tengkujuh dulu2 … aku gan arwah bapak Turun kat pantai menjala ikan belanak Atau ronda pantai Sepanjang Mencari siput sedut … skrg hampeh,” tulis Afdillah.

Ahli-ahli lain juga turut berkongsi gambar sambil melahirkan rasa sedih di sisi laut yang berubah warna.

Dalam laman Facebook yang sama, Ahli Parlimen PKR-Kuantan, Fuziah Salleh turut berkongsi beberapa gambar laut merah diikuti postingnya yang memerlukan jawapan daripada pihak berkaitan.

“Buat makluman warga Kuantan, Saya sudah pun Bertanya kpd timbln Menteri Alam Sekitar Melalui WhatsApp berkenaan dgn analisa udara merah ini kepada samada ianya Membawa mudharat kpd Manusia Dan Kehidupan di udara dan Sedang Menunggu jawapan dari beliau,” katanya.

Laut di Kuantan dilaporkan bertukar menjadi merah setiap kali hujan, kerana debu dari perlombongan bauksit di kawasan itu.

WARGA TIONGHUA ENGGAN TERIMA RISALAH YANG DIEDARKAN OLEH PENGERUSI PAN KEDAH??????


Lokasi kejadian di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

Program: Edar risalah diketuai Pengerusi PAN Kedah.

Tarikh: 28hb Disember 2015.

Sambutan dan respon:   Lihat dengan mata kepala sendiri ... jelas tanpa penglibatan DAP ternyata amat kaum Tionghua amat kurang memberikan sambutan dan bersikap dingin kepada PAN.

Kaum Tionghua sokong PAN pun bukan disebabkan yakin dan percaya akan kemampuan PAN tetapi lebih kepada sokongan padu mereka kepada DAP.

PAN sekadar menumpang dan berteduh dibawah ketiak DAP sahaja ... tiada lebih tiada kurang.

Tuesday, 29 December 2015

PPIM TUDUH PENIAGA KOMPLEKS KOTA RAYA KEBAL UNDANG-UNDANG ... BEBAS UNTUK MENIPU DAN MENGURUNG PELANGAN.



Adakah peniaga gajet telekomunikasi, terutama telefon bimbit di Kompleks Kota Raya mempunyai kekebalan, apabila tiada seorang pun daripada mereka ditangkap berhubung dakwaan menipu dan mengurung pelanggan di sebuah bilik di premis itu?

Demikian persoalan yang dilontarkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut kesal dengan tindakan polis menahan dua aktivis PPIM yang telah membantu beberapa mangsa penipuan telefon di Kompleks Kota Raya.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata beliau yakin terdapat komplot dengan apa yang berlaku dan peniaga di kompleks itu seolah-olah mempunyai kekebalan apabila tiada seorang pun dari peniaga itu ditangkap berhubung dakwaan menipu dan mengurung pelanggan di sebuah bilik di premis tersebut.

“Saya benar-benar percaya. Memang benar. Tetapi pada tahap mana, saya tidak tahu,” katanya pada sidang media bersama 25 NGO lain di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan PPIM membantu mangsa yang ditipu bukanlah bermotifkan perkauman sebaliknya ia merupakan tanggungjawab untuk membela mereka yang teraniaya, terutama dalam isu yang berlaku di Kompleks Kota Raya.

“Tiada isu perkauman. Kita sedia bantu mana-mana pengguna atau pembeli yang teraniaya atau ditipu oleh peniaga.

“NGO cuba tolong dapatkan kembali wang daripada peniaga yang cuba menipu beberapa pelanggan di kompleks itu.

“Ingatkan kerajaan atau polis bagilah hadiah, rupanya hadiah ke ‘dalam’,” katanya.

Katanya, beliau pelik dengan keadaan undang-undang Malaysia yang bertindak menahan mereka yang membantu orang ramai yang ditindas sedangkan mereka yang bersalah dibiarkan bebas.

“Ini suatu yang pelik dan tidak sepatutnya berlaku keranan orang yang ditangkap adalah orang yang membantu bukannya yang menipu,” katanya.

Antara 25 NGO lain yang turut hadir pada sidang media itu ialah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang diwakili Timbalan Ketua Pemudanya, Alwi Adam; Yayasan Patriot Negara Malaysia; Perkasa; Gabungan NGO Islam dan Bersatu Malaysia.

ADA MENTERI TIDAK FAHAM ATAU BUAT-BUAT TIDAK FAHAM DERITA RAKYAT

Pernah terbaca kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew ketika ditemuramah oleh beberapa orang professor dari Harvard University tentang tindakan beliau menangani masalah rasuah di Singapura ketika zaman awal pentadbirannya dahulu.

Dengan jelas beliau menyatakan yang beliau sendiri terpaksa ‘turun padang’ untuk menyelesaikan masalah itu. Pendek kata Perdana Menteri sendiri terpaksa ‘menyinsing lengan’ demi untuk menyelamatkan Singapura daripada ‘kehancuran’ disebabkan oleh merebaknya gejala rasuah pada ketika itu.

Dugaan awal yang ditemuinya ketika ‘memerangi’ gejala berkenaan ialah ketika rakan karibnya sendiri yang terlibat dan meminta bantuan dan jasa baiknya mendapatkan pengampunan.

Betul-betul beliau dalam keadaan ,’ telan mati emak dan luah mati bapak’. Walau bagaimana pun mengikut penjelasannya beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keadilan.

Dan dua hari selepas beliau membuat ‘keputusan’ berkenaan, rakannya itu telah mengambil keputusan membunuh diri.

Begitu sekali pengorbanan yang dilakukan oleh seorang Perdana Menteri demi untuk meyakinkan rakyat bahawasanya beliau betul-betul serious dalam menangani gejala berkenaan.

Dengan menunjukkan contoh sedemikian telah menyebabkan para pegawai yang terbabit dalam pencegahan rasuah yakin bahawa sebenarnya kepimpinan negara betul-betul berhasrat untuk menghapuskan gejala berkenaan di negara berkenaan dan bukan setakat ‘melepaskan batuk di tangga’ ataupun hanya sebagai mengabui mata rakyat semata-mata.

Sehubungan dengan isu ini, rakyat di Malaysia sebenarnya mengharapkan sangat agar pihak pemimpin negara khususnya para menteri yang bertanggungjawab ataupun SPRM mengambil langkah yang betul-betul serious menangani kegiatan rasuah di dalam negara ini.

Mungkin telah ada tindakan yang telah dilakukan. Tidak dapat dinafikan. Namun rakyat masih merasakan bahawa masih ada ruang-ruang yang boleh dilakukan demi untuk benar-benar meyakinkan rakyat agar masalah rasuah ini dapat dibendung dan mungkin belum lagi terlambat.

Walaupun para menteri negara ini terpekik dan terlolong melalui radio dan TV arus perdana menjelaskan kepada rakyat tentang tindakan-tindakan yang mereka jalankan demi untuk membangun dan membela rakyat, namun rakyat terbanyak masih merasakan bahawa pemimpin di negara ini masih belum melaksanakan tugas membela rakyat dengan sepenuhnya.

Apakah begitu rupanya tindakan rakyat Malaysia yang semacam tidak mengenang budi itu? Apakah rakyat Malaysia hanya memejamkan mata dan menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan?. Apakah sumbangan BRIM yang diberikan itu bukan merupakan pemberian ‘ikhlas’ dari kerajaan?

Peribahasa Cina ada mengatakan bahawa sekiranya mahu memberikan pertolongan antara joran dan ikan, maka lebih baik diberikan joran daripada diberikan ikan kepada yang menerima.

Dengan memberikan ikan hanya untuk sekali makan sedangkan jika joran diberikan boleh digunakan untuk sepanjang masa bagi menangkap ikan.

Mungkin jugalah para menteri kita mempunyai hujah yang tertentu untuk menangkis hujah yang dikemukakan ini.

Sebenarnya sebilangan besar rakyat Malaysia pada ketika ini sedang dalam derita. Mungkin para menteri kita tidak mendengar rintihan dan tangisan rakyat ketika ini yang sedang bergelumang dengan kenaikan harga barang khsususnya dalam suasana penggal persekolahan hendak bermula.

Hampir tidak percaya tentang bagaimana seorang bapa yang berpendapatn sederhana menyelesaikan masalah yang dihadapi kini.

Membeli pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anak, tambang bas dan van yang perlu difikirkan, yuran sekolah yang juga perlu dijelaskan apabila penggal persekolahan bermula nanti.

Apakah nyenyak tidur si bapa dan si ibu mengenangkan masalah yang dihadapi kini. Apakah masih boleh mengukirkan senyuman si bapa dan si ibu mengenangkan derita yang dihadapi oleh mereka dalam usaha untuk memberikan pelajaran dan pendidikan kepada anak-anak.

Tahukah dan sedarkah para menteri kita tentang derita yang sedang dihadapi oleh rakyat terbanyak kini.

Mungkin jawapan yang diberikan oleh mereka ialah bahawa mereka lebih tahu dan peka dengan keadaan yang dihadapi oleh rakyat.

Syukur. Dan apakah tindakan yang betul-betul berkesan yang sedang dilakukan oleh pihak berwajib menangani masalah berkaitan. Berapa keratkah menteri yang sanggup betul-betul ‘turun padang’ menyelesaikan masalah rakyat seperti mana yang pernah dilakukan oleh Saudara Lee Kuan Yew dalam menyelsaikan berbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat Singapura pada suatu ketika dahulu.

Rakyat Malaysia amat ‘dahagakan’ keadaan serupa.

KERUSI AHLI MAJLIS SELANGOR DIPERUNTUKAN KEPADA PAN ... AZMIN MASIH BELUM BUAT KEPUTUSAN


Terpulang kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali untuk memutuskan sama ada Parti Amanah Negara (PAN), pendatang baru kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan, akan mendapat tempat duduk dalam majlis tempatan, kata Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.

"Tiga pihak telah membuat keputusan mengenai senarai mereka (ahli majlis), tetapi kerajaan negeri masih belum membuat keputusan dalam senarai itu," kata Yong pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selangor mempunyai 288 ahli majlis, dengan 120 kerusi yang diperuntukkan kepada PKR dan 98 dan 70 kepada DAP dan PAS. Kumpulan semasa majlis akan menamatkan perkhidmatan mereka Khamis ini.

"Ia terpulang kepada Menteri Besar Selangor untuk membuat panggilan jika ada kerusi akan diperuntukkan kepada PAN . Keputusan itu belum dibuat, "katanya, menjelaskan bahawa Azmin masih membincangkan perkara itu dengan ketiga-tiga parti yang lain.

"Mudah-mudahan pelantikan boleh dilakukan bulan depan."

MOHON JANGAN SENTAP .... KOLEKSI GAMBAR UMNO DAN DAP PULAU PINANG BERSATU UNTUK CARI PENYELESAIAN KAMPUNG MUTIARA, BATU FERINGGI, PULAU PINANG DARI KENA ROBOH.



Dari Kampung Mutiara Batu Feringgi.

Keadaan masih tenang. Tiada tanda-tanda lagi perobohan akan dilakukan. Pemimpin-pemimpin parti Politik dari UMNO dan DAP turut hadir bersama-sama memberi sokongan dan cuba menyelesaikan masalah penduduk.


Antara yang hadir dari UMNO ialah Dato Musa Sheikh Fadzir, Dato Ahmad Ismail dan Adun UMNO Teluk Bahang YB Dato Shaheadan manakala dari DAP, MP Bukit Bendera YB Zairil Khir Johari dan ADUN Tanjung Bungah YB Teh Yee Cheu.


Kita doakan yang terbaik untuk sahabat-sahabat kita semua di Kampung Mutiara.

BEGINILAH SUASANANYA DI PEJABAT LHDN GEORGETOWN KERANA NAK MOHON DAN KEMAS KINI BR1M SEBELUM TARIKH TUTUP 31HB DISEMBER 2015.


Orang ramai beratur di luar bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memohon dan mengemas kini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di cawangan LHDN, Georgetown semalam.

Pemohon baru atau ingin mengemas kini permohonan BR1M bagi 2016 diminta melakukannya segera sebelum 31 Disember ini.

Pada pengumuman Bajet 2016 lalu, Perdana Menteri mengumumkan kategori melibatkan isi rumah pendapatan bawah RM3,000 dengan jumlah BR1M dinaikkan dari RM950 kepada RM1,000.

Bagi kategori isi rumah pendapatan bawah RM3,001 hingga RM4,000 jumlah BR1M akan menerima RM800.

ISU LAKUKAN 2 KERJA UNTUK TAMBAH PENDAPATAN .... TIMBALAN PRESIDEN PAS KRITIK KERAS AHMAD MASLAN.



Berbanding Datuk Ahmad Maslan yang melakukan tiga kerja, guru pula melakukan lapan kerja (
#8kerja) tetapi hanya dibayar satu gaji.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, guru bekerja mengajar, menyemak, menyediakan kertas soalan peperiksaan, bermesyuarat, menjadi guru kaunseling, menjadi penasihat kelab dan persatuan, menjadi guru disiplin dan memasukkan data ke sistem PBS.

Katanya, guru di negara ini sudah lama mengeluh kerana kerja banyak dan dihimpit kos sara hidup.

Namun, ada pula Timbalan Menteri yang menyarankan supaya melakukan #2kerja untuk menambah pendapatan.

“Bezanya #8kerja mereka hanya dibayar satu gaji. Mereka tidak senasib baik Pak Timbalan Menteri yang mungkin dapat #3gaji untuk #3kerja – Ahli Parliamen, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO- pada waktu kerja yang sama. Nasib hidup di bawah UMNO, gitulah gayanya,” sindirnya.

Saranan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa itu menjadi topik perbualan hangat di media sosial.

Dalam penjelasannya, Ahmad Maslan berkata saranan itu lebih sesuai untuk mereka yang bekerja sendiri kerana pekerja tetap perlu mematuhi peraturan syarikat.

Katanya, pekerjaan yang dimaksudkan ialah perniagaan atas talian atau e-commerce yang boleh dilakukan pada waktu malam dan hujung minggu.

Monday, 28 December 2015

PERSEPSI TERHADAP PARTI-PARTI POLITIK NEGARA YANG BERLEGAR DIMINDA RAKYAT KINI




UMNO:-

Kenaikan mendadak kos sara hidup dan kesusahan rakyat marhaen di kawasan tradisi bakal menentukan masa depan UMNO.

Tidak siapa yang boleh menafikan UMNO kini resah kerana PAS sudah muncul sebagai bahtera yang boleh diterima pengundi kawasan tradisi selepas senjata UMNO “PAS kuda DAP” hilang bisa.

Cubaan berjinak-jinakan PAS supaya tidak melawannya tidak akan menjadi kerana PAS mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang kecil berbanding UMNO.

PAS ingin menambah kerusi Parlimennya, dan caranya ialah menumbangkan UMNO. UMNO pula ingin mengekalkan apa yang ada kalau boleh, dan ini hanya boleh dilakukan jika UMNO terus menewaskan PAS.

Kerjasama politik antara 2 parti hanya akan terjalin jika UMNO sudi melepaskan kerusi Parlimennya kepada PAS, dan ini bermaksud mempertaruhkan nyawa BN sebagai kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri – dan ini yang menyebabkan perkara ini mustahil berlaku.

Pergolakan dalaman UMNO akan berterusan. Setiap gerak-geri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membawa gegaran ditambah dengan suara pedas mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa yang dibimbangi ialah Najib akan disibukkan dengan tugas menjaga kedudukannya daripada tugas mentadbir negara, yang kini bakal berdepan dengan keadaan ekonomi yang meruncing kerana harga minyak sedunia yang kekal rendah.

PAS

Hari ini, parti ini paling banyak mendapat liputan akhbar arus perdana dan juga media baru ekoran pelawaan Umno untuk bekerjasama.

Perkara ini tidak menghairankan kerana PAS, selepas berputus dengan DAP, muncul menjadi parti yang bakal menentukan pihak mana yang menang.

Pendirian PAS untuk kekal sebagai pembangkang mengecewakan BN dan juga PAN serta DAP. UMNO mengharapkan PAS tidak mencabarnya kerana menyedari PAS adalah pencabar utamanya di kerusi majoriti Melayu.

Pakatan Harapan terutamanya PAN dan PKR bimbang pertandingan 3 penjuru yang melibatkan kerusi yang pernah dimenangi pembangkang bersama PAS. DAP pula risau dengan nyawa dan hayat PAN sekiranya bertembung 3 penjuru dengan PAS.

Realitinya, PAS mempunyai cukup pengaruh menjadi penentu kemenangan orang lain. Antara kelebihan yang ada pada PAS kini ialah PAS sudah stabil selepas melepasi krisis dalamannya untuk mencatur strategi politiknya manakala parti-parti besar yang lain sedang bergolak secara dalaman.

DAP

Pulau Pinang amat dibimbangi akan menjadi medan pengundian mengikut perkauman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana DAP kini bermusuh dengan UMNO dan PAS pada masa yang sama.

Perkara ini sangat tidak sihat untuk negara, tapi itulah realiti politik di Pulau Pinang hari ini hasil daripada strategi politik yang diambil DAP.

Rakyat bakal menyaksikan bagaimana strategi popular “musuh punya lawan ialah kawan” bakal makan diri pada pengamalnya dan lahirnya angin “Asal Bukan Calon DAP” (ABCD) di Pulau Mutiara itu.

Jika DAP terus leka dan tidak berwaspada dengan kesilapan-kesilapan besar dan tidak sensitif seperti tindakan DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa 2 peserta luncur angin dari Israel untuk menyertai Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf), DAP akan terus menyusahkan PAN dan PKR yang terpaksa bertanding di kawasan campuran majoriti Melayu kerana kawasan campuran majoriti Cina sudah dibolot DAP sepenuhnya.

PKR

Pemilihan PKR tahun depan bakal menentukan hala tuju parti itu yang sebenarnya. Pergeseran dalaman PKR yang ditutup rapi oleh media juga akan terburai.

Apakah nasib Dato' Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Dato' Seri Azmin Ali? Apakah PKR akan kekal persepsinya sebagai parti yang hanya melakukan segalanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau parti pembangkang yang ada agenda tersendiri?

Apakah fenomena tsunami yang melanda Pemuda PKR pada pemilihan parti itu yang lalu akan melanda ke keseluruhan parti kali ini?

Kena ingat ketika pemilihan parti yang lalu, Azmin masih bukan menteri besar Selangor dan pasukan beliau menang besar walaupun terpaksa bertempur sengit dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang masih memegang jawatan menteri besar ketika itu dan orang kanan Anwar, Saifuddin Nasution.

Parti Amanah Negara (PAN)

PAS sebagai parti yang besar, turut menerima padah digelar sebagai “kuda DAP” ketika bertahaluf dengan DAP.

Oleh itu, persoalan utama yang perlu dijawab parti ini ialah apakah mereka mempunyai strategi untuk menghilangkan persepsi yang ia bukan proksi DAP sebagaimana yang dipersepsikan, lebih-lebih lagi apabila pemimpin PAS terdahulu yang dilihat lunak dengan DAP kini menerajui PAN?

Bolehkah parti ini boleh bergerak keluar daripada posisi menyerang dan memburukkan PAS dan Presiden PAS untuk menjustifikasikan kewujudan diri sendiri????

PENDIRIAN DAP TERHADAP PALESTIN KABUR TEGAS MUFTI PERLIS.



Sekatan visa ke atas 2 atlet Isreal daripada menyertai satu acara sukan di Langkawi mendapat pujian pelbagai pihak termasuk Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Asri, sekatan itu wajar dikenakan meskipun melibatkan aktiviti sukan kerana ia juga sebahagian daripada aspek kemanusiaan.

“Saya ingin memuji pendirian (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin. Sukan tidak boleh berpisah dari kemanusiaan.

"DAP hanya memikirkan hak sukan Israel namun tidak begitu nyata selama ini pendirian mereka terhadap hak kemanusiaan rakyat Palestin,” kata Asri dalam posting terbaru di akaun Facebooknya.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan sebuah portal menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf), di Langkawi, Kedah.

Malaysia turut mengenakan beberapa sekatan termasuk terhadap penggunaan bendera Israel atau simbol serta larangan lagu kebangsaan negara itu dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas selain daripada sekatan visa.

Sejak ditubuhkan , Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel kerana tidak mengiktiraf kewujudan negara itu.

Sebelum ini, tindakan Khairy dikecam Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin kerana menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Kenyataan Chong itu bagaimanapun dikecam pelbagai pihak yang mempersoalkan pendirian DAP dalam isu membabitkan Israel.

Bagaimanapun semalam, Chong menarik semula kenyataannya dan menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin terhadap penjajahan Israel.

BILA SAHAJA AHMAD MASLAN BUKA MULUT PASTI WARGA KITA AKAN NAIK ANGIN SATU BADAN.



Tiap kali Datuk Ahmad Maslan buka mulut, tiap kali itu ada sahaja kebangkitan kemarahan dan kebencian daripada orang awam. Mengapa Datuk?

Untuk tujuan apa sebenarnya Ahmad Maslan nak buka mulut kalau sekadar mengundang kemarahan rakyat??? ... adakah cara itu sokongan rakyat kepada pemerintah akan mencanak naik???? ... maukan publisiti murahan dan perhatian walaupun sanggup buat kenyataan yang tidak setimpal dengan CGPA 3.85 nya.

Rasanya beliau kesunyian dari perhatian arus perdana sebaik sahaja ditukarkan ke kementerian lain.

Adakah insan bernama Ahmad Maslan rasa seronok dan puas apabila secara berjemaah rakyat kita maki hamun dirinya?????

Terbaru ialah apabila Datuk mencadangkan individu berpendapatan rendah melakukan dua pekerjaan bagi menjana kewangan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Datuk tahu tak, sememangnya tekanan ekonomi dan peningkatan harga barangan serta perkhidmatan dan segala caj cukai yang dikenakan sudahpun menolak orang awam, khususnya mereka yang daripada berpendapatan rendah untuk melakukan dua kerja?

Kenyataan Datuk mungkin kena diperbetul, minta buat tiga atau empat kerja!

Satu isi rumah, tiga atau empat pendapatan sudah menjadi lumrah. Tukang kebun di sekolah anak saya pun buat dua kerja, pagi sampai petang di sekolah, malam kerja ‘jaga’ di kilang. Kedua-dua pendapatannya digabung baru cecah RM2,000, belum potong apa-apa. Balik rumah, sekadar untuk tidur, makan dan mandi. Tiga orang anak pun tak tahu belajar apa…

Inilah realiti orang susah. Cukuplah dengan cadangan Datuk.

Bagi orang berpendapatan sederhana pula, bertimbun-timbun berbelanja untuk bersaing sesama golongan mereka, bagi anak-anak yang terbaik, sampaikan duit ‘saving’ pun tak ada. Pagi hingga petang kerja di pejabat, balik rumah, si isteri terpaksa bekerja di klinik selama empat jam secara part time. Hal anak-anak, seorang ibu terpaksa dikorbankan. Datuk tahu tak, betapa sakitnya bila ibu itu gadai waktunya dengan anak semata-mata kerana terpaksa bekerja tambahan?

Kepada yang berpendidikan dan mahir dengan kemahiran perniagaan, mereka mungkin memilih menjual tudung atau baju secara on-line, seperti yang dicadangkan oleh Datuk. Tetapi itu juga ada cabarannya.

Memetik kata-kata Datuk, “Saya rasa ia (dua pekerjaan) bukanlah satu kesalahan, (walaupun) Malaysia ada peraturan, ia satu cara bagi menangani kos sara hidup juga. Walaupun kerja waktu pejabat (dari jam 8 pagi ke 5 petang), masih boleh buat online business, asalkan datang kerja dengan tidur yang cukup.Online business boleh buat weekend juga.”

Memandangkan Datuk menyatakan perkataan peraturan, saya pun mahu merujuk kepada terma itu. Bukan mudah untuk buat perniagaan online, kita kena ‘engage’ dengan pelanggan secara talian sepanjang masa, dan adakah pihak majikan akan membenarkan kita berbuat demikian? Fikirlah.

Bab ‘datang kerja dengan tidur cukup’, kalau sibuk buat dua kerja, ditambah dengan kerja di rumah, menjaga anak, Datuk masih yakin kami boleh datang kerja dengan tidur yang mencukupi?

Datuk, pendek kata, di sebalik semua cabaran ini, saya tidak nafikan ramai yang sedang menambah sumber pendapatan. Kini tiada lagi rumah dengan satu sumber pendapatan, yang dua sumber pun sudah kurang. Lazimnya, tiga atau empat sumber pendapatan. Datuk terlewat buat cadangan. Tetapi kami, ibu bapa belum fikir lagi kesan kepada sosial apabila sibuk mengejar duit, seperti nasihat Datuk.

Anak-anak mungkin terbiar dan mendahagakan kasih sayang, hala tuju mereka pasti akan berubah angin. Ibu bapa tiada di rumah, kalau ada pun sibuk buat online business, anak-anak bosan dan nescaya kemungkinan pilih jalan yang salah. Kepada ibu bapa itu sendiri, mereka mungkin tiada masa untuk diri sendiri, kesihatan pun mungkin terganggu kerana kerja lebih tanpa rehat, apatah lagi dengan cadangan kerajaan untuk terlibat dalam aktiviti sosial. Kalau anak-anak muda sedar ini kehidupan mereka selepas kahwin, mereka juga akan fikir dua kali untuk kahwin!

Datuk, baiknya Datuk berfikir bagaimana kerajaan boleh bantu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat tanpa membebankan rakyat dan menyebabkan kesan sosial yang parah kelak.

Buat satu kerja pun, saya hanya dapat luangkan tiga atau empat jam sehari dengan anak. Tak lalu saya buat kerja tambahan Datuk!!!!!!

Sunday, 27 December 2015

MOHON JANGAN KETAWA KUAT SANGAT ... PAN BUAT DEMO BANTAH TUKAR NAMA TOL PLAZA DAN BUKANNYA HAPUSKAN TOL.


Aduhhhh!!!! ingatkan berdemo nak hapuskan tol sebab itu adalah janji Lim Guan Eng jika Pakatan Harapan dapat tawan Putrajaya pada PRU ke-14 nanti ... ini berdemo sekadar nama Tol Plaza ditukarkan dari Tol Plaza Tanjung Malim ke Plaza Tol Hulu Bernam.

Apalah sangat ada pada nama .... ini dinamakan memperjuangkan isu picisan dan remeh ... kalau tukar nama apa nama sekali pun rakyat tetapi dikenakan tol .. lainlah kalau berjuang nak hapuskan tol.


Penduduk dan beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggarkan seramai 50 orang mengadakan demonstrasi aman di Plaza Tol Tanjung Malim pada Ahad, bagi menuntut penukaran nama plaza tol.

Mereka mendesak Plaza Tol Tanjung Malim ditukarkan nama kepada Plaza Tol Hulu Bernam memandangkan kawasan itu masih berada dalam negeri Selangor.

Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, B Raj Kumar berkata, nama Plaza Tol Hulu Bernam mampu menarik pelabur luar datang ke kawasan sempadan Perak-Selangor itu.

“Kita buat tuntutan kerana ingin mengekalkan imej Selangor selain menjadikan kawasan sempadan ini lokasi strategik bagi pelabur luar.

“Permohonan sudah dibuat pada November lalu kepada PLUS dan pejabat Menteri Besar Selangor malah maklum balas positif diterima.

“Bagaimanapun, PLUS memaklumkan kelulusan dan persetujuan tertakluk di bawah kerajaan pusat melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

AZIZ DESA MENINGGAL DUNIA.



Bekas wartawan Berita Harian dan pengacara televisyen terkenal Aziz Desa baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir kerana komplikasi diabetes dan buah pinggang.

Aziz, 50, adalah bekas pengacara rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9.

Adiknya Atikah Desa memberitahu Aziz meninggal dunia di rumahnya di Langkawi.

SEKARANG SIAPA YANG KENA "BATUT" ULAR???????


Dulu pada tahun 1987 semasa Timbalan Presiden PAN Sdr Salahuddin Ayub berjawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS bersama-sama dengan bosnya YB Dato; Mahfuz Omar didapati bersalah kerana terlibat dalam suatu perhimpunan haram didepan Universiti Malaya bantah pasukan kriket Israel pijak dibumi Malaysia sehingga sanggup menjadi penghuni penjara selama 1 bulan kerana enggan bayar denda atas prinsip tegas perjuangan menentang keras zionis Israel terhadap Palestine dan penduduknya.

Kini satu dunia tahu walaupun dinafi yang PAN adalah proksi DAP .. kewujudannya mendapat restu dan sokongan amat padu dari DAP.

Semalam DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin kerana menafikan dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohonan di Langkawi hari ini.

Apakah Timbalan Presiden PAN (Parti Rahmatan Lil 'alamin) yang hebohkan serata dunia sebuah parti yang Amanah, Progresif, Peduli, Profesional lagi Inklusif selain yang menjadi Penasihat dan Timbalan Penasihat Umumnya memang terkenal sebagai ulamak-ulamak luar biasa akan mengambil pendirian yang sama semasa tahun 1987 atau seperti dijangkakan majoriti rakyat negara ini akan sekadar menikus, menggigil kepala lutut, ketar kepala lutut, ketakutan untuk tegur mulut celupar DAP?????

Kalau berani tegur kira PAN amat hebat .. kalau membisu terkedu tergigit lidah rakyat amat faham dan mengerti.

Kini rakyat bertanya ... SIAPA YANG KENA "BATUT" ULAR SEKARANG???????

ISU MENERIMA MENJADI AHLI PAN DENGAN BORANG KOSONG OLEH NIZAR JAMALUDDIN .... INI KENYATAAN PEMUDA PAN PERAK YANG MAU TUTUP MALU SELEPAS PERCUBAAN NAK MEMALUKAN PAS GAGAL.



Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak tampil membuat penjelasan berhubung tuduhan parti itu menipu apabila memuatnaik gambar-gambar seorang ahli PAS telah menyertai parti itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda PAN Perak, Mohd Rashidi Nasharuddin menjelaskan, pihaknya dilempar dengan tuduhan tidak wajar apabila penafian pemuda bernama Zack itu menyertai PAN menjadi viral di media sosial,

“Kami mengharap fitnah ini dapat dihentikan kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada ummah secara keseluruhan. Kami mendoakan kebaikan baik untuk saudara Zack, Ustaz Idris Ahmad yang menjadikan posting Zack ini viral dan juga kepada parti PAN yang kami cintai,” tulisnya di Facebook.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Rashidi menjelaskan, Zack atau Mohd Zakaria datang ke Pejabat PAN kawasan Bukit Gantang dan pihaknya ‘bermanis mulut’ menawarkannya menyertai Amanah.

“Dia bersetuju untuk menyerahkan borang keahlian yang masih belum diisi kepada ADUN Changkat Jering, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai gimik penyertaannya

“Tidak lama kemudian, kami menerima satu “screenshort” tentang penafian dia menyertai PAN. Dalam posting itu, dia menyangkal dengan nama Allah bahawa dia menyertai PAN. Dia mengatakan ia hanyalah borang kosong.

“Kami tidak menafikan bahawa memang benar borang di dalam gambar itu masih kosong kerana ia hanyalah gimik penyerahan semata-mata kerana kami dengan penuh sangka baik percaya soal pengisian maklumat borang akan diselesaikan selepas selesai program.

“Dengan penuh berlapang dada, kami sangat menghormati jika dia ingin ‘u-turn’ kembali kepada PAS kerana menganggapnya perbuatan itu salah atau terburu-buru namun tindakan dia menafikan hingga pihak kami dituduh menipu, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar,” jelas Mohd Rashidi.

Katanya, pihaknya silap kerana terlalu bersangka baik kepada pemuda itu dan kini mereka dianggap penipu dan menyebar perkara palsu.

BERITA GEMBIRA UNTUK PENGEMAR PISANG GORENG, TOM YAM DAN SATE ... KESEMUA BARANGAN INI DIJANGKA NAIK HARGA TAHUN DEPAN.



Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun ini mencengkam pengguna yang terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk barangan serta perkhidmatan.

Pertengahan Oktober lalu pula, kadar tol di lebuh raya konsesi di kawasan Lembah Klang naik di antara 10 sen sehingga RM6.

Peniaga kecil yang turut terkena tempias kesan rantaian kenaikan itu berusaha keras mengekang kenaikan tersebut agar ia tidak dipindahkan kepada pengguna secara mendadak.

Nik Azura Abu Bakar, 49, yang menjual pisang goreng dan keropok lekor di Taman Bukit Angkasa Pantai Dalam pasrah dengan siri kenaikan harga barangan sebelum ini.

"Sekarang kami jual pisang goreng 3 ketul dengan harga RM1 berbanding dulu 4 ketul untuk RM1.

"Mereka (pelanggan) faham kenaikan harga barang ini tetapi kamilah yang terpaksa bersusah-payah pusing duit," katanya.

Pada masa sama, beliau mengekalkan harga jualan keropok lekor iaitu 5 potong pada harga RM1 walaupun pembekal makanan itu sudah menaikkan harga.

Namun, menjelang tahun depan beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi menjual cendol yang turut dijual bersama keropok dan pisang goreng.

"Pembekal naikkan juga daripada RM1 sebatang (keropok lekor) kepada RM1.10 untuk kami, tapi kami kekalkan lagi harganya.

"Cumanya, selepas ini, kami hentikan jualan cendol, (sekarang dijual) yang besar RM2.50 (secawan) dan yang kecil RM1.50," katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya serta 3 anak perempuannya.

Beliau juga merasakan dirinya bernasib baik kerana boleh membeli minyak masak dari Kedai Rakyat 1Malaysia yang kebetulan terletak berhampiran lori tempat beliau berniaga.

"Kita sebagai peniaga terpaksa teruskan juga untuk menyara hidup. Kita pergi belilah di Kedai Rakyat 1Malaysia dekat depan. Perniagaan mesti diteruskan," katanya.

Sentimen sama turut disuarakan peniaga Mohd Farize Jaafar, 58, yang menjual sate.

Farize tidak menolak kemungkinan harga secucuk sate yang baru dinaikkan kepada 80 sen daripada 70 sen selepas Hari Raya Aidilfitri beberapa bulan lalu, terpaksa dinaikkan lagi jika harga barang mentah melambung menjelang 2016.

"Kita tengok hargalah, kalau dia (barang) naik tinggi kita terpaksa naikkanlah. Kalau kita mampu macam sekarang, kita kekalkan.

"Sekarang tak banyak sangat untung, dulu boleh tahanlah," kata Farize yang pada asalnya berniaga sate sejak 2008 tetapi kini bekerja mengusahakan perniagaan sate adiknya sejak 2011.

Penjual sate, Mohd Farize Jaafar berkata tidak mustahil harga makanan yang dijualnya meningkat lagi tahun depan kerana peningkatan kos bahan mentah.

"Daging lembu dulu sekilogram RM15.50 tetapi sekarang sekitar RM22 atau RM23 sekilogram.

"Kacang tanah dulu seguni (dengan berat sekitar 5 kilogram) dalam RM27 atau RM28 tetapi sekarang seguni RM32," katanya yang menjual sate di Bazaria Pantai, Pantai Dalam.

Beliau bagaimanapun berkata pelanggan yang sebahagiannya merupakan pelanggan tetap kebiasaannya akan dimaklumkan terlebih dulu akan sebarang kenaikan harga.

"Mana-mana yang biasa beli dengan kita, kita akan maklumkan dulu. Ada sesetengahnya pula akan tanya dulu berapa harga secucuk sebelum membeli," katanya yang memperoleh barang mentah di sebuah pasar raya besar di Jalan Kuchai Lama.

Seorang peniaga kedai tom yam di Brickfields yang hanya mahu dikenali sebagai Boy pula merungut tentang kenaikan harga barangan mentah seperti ayam, beras, daging, telur serta rempah-ratus di kedainya.

"Sekarang ini, kalau RM500 sehari untuk beli barang mentah belum tentu lagi cukup.

"Kita pula serba salah hendak naikkan harga barang sebab kebanyakannya pelanggan tetap," katanya yang mendapatkan bekalan barang mentahnya di Pasar Borong Selayang.

Seorang pekerja kedai makan 24 jam di Jalan Pantai Murni, Kerinchi, Maimunah Ali, 30, mempunyai pendapat berbeza tentang kenaikan harga barang mentah yang berlaku dan dijangka berterusan pada tahun depan.

Beliau yang menguruskan kedai tersebut bagi pihak majikannya yang menetap di Melaka berkata, kedai tersebut amat jarang menaikkan harga makanannya.

"Kita di sini biasa-biasa saja. Untung sikit-sikit tak mengapa, janji kita masih berniaga," katanya.

Katanya, majikannya juga tidak kisah dengan perkara tersebut selagi kedai itu masih mencatatkan keuntungan.

"Janji dia sudah untung pun sudah mencukupi," katanya.... TMI

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...