Baru-baru ini PKR melalui Ketua Whip Parlimennya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani YB Dato' Johari Abdul mendakwa parti itu lebih tertib ketika menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 2014.
PKR juga mendakwa UMNO tidak tertib dan tidak demokratik dalam usaha menukar dan menurunkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Di media sosial, kenyataan Ketua Whip PKR itu menjadi bahan bualan dan perdebatan hangat. Bagi penyokong totok pembangkang terutamanya dari PKR, PAN dan DAP, mereka mengiyakan dan menerima bulat-bulat tanpa sedikit pun mencuit minda diajak berfikir secara fakta dan rasional tapi bagi penyokong UMNO/BN terutamanya rakyat berfikiran yang tahu cerita sebenar yang sentiasa menapis semua maklumat sebelum dihadam mentah-menah merasakan kebijaksanaan mereka dihina dan diperlekehkan sudah pasti merasa marah.
Secara terus terang Omak rasa termuntah hijau apabila membaca kenyataan berani mati tanpa malu Johari Abdul ini.
Bagi rakyat yang mengikut rapat pergolakkan Menteri Besar Selangor pada 2014, kenyataan PKR itu amat mengejutkan.
Kenapa Johari mengeluarkan kenyataan itu sedangkan seantero dunia (media asing turut membuat liputan) tahu bagaimana parti itu berusaha menyingkirkan Khalid sehingga sanggup menjaja fitnah.
Ya, mungkin Khalid degil kerana tidak mendengar arahan parti (seperti PKR dakwa) tetapi tergamak parti itu memfitnah dan mengaibkan beliau. Bukan saja Islam malah semua agama pun melarang penganutnya memfitnah dan mengaibkan orang.
Seburuk-buruk UMNO pun (baca segelintir pemimpin UMNO), mereka tidak memfitnah Mukhriz apatah lagi membuat siri jelajah pusing satu Kedah kalau tidak pun negara menjaja keburukan Mukhriz. UMNO menguasai media cetak dan elektronik arus perdana tetapi adakah mereka memburukkan Mukhriz?
Jawapannya TIADA. Jadi apakah yang dimaksudkan Johari yang mendabik dada mengatakan PKR lebih tertib dalam menukar Menteri Besar?
Ketika kontroversi Menteri Besar Selangor pada 2014, seluruh negara dimomokkan dengan keburukan Khalid. Ia bukan datang dari UMNO tapi PKR dan Pakatan Rakyat termasuk DAP melainkan PAS.
Dokumen berjudul ‘Menggantikan Menteri Besar Selangor’ menyatakan dan memberi gambaran Khalid seorang MB yang korup, zalim, tidak boleh dipercayai, tidak bersikap telus, tidak jujur, tidak beretika, tidak beramanah, tidak berintegriti, telah terlibat dengan perlakuan rasuah dan salah laku dan tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.
Untuk rekod, bekas Setiausaha Agung PKR , Datuk Saiffudin Nasution telah meminta maaf kepada Khalid bagi pihak parti di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos 2015 kerana memfitnah dengan pelbagai cerita tipu yang direka cipta. Adakah perbuatan PKR itu tertib?
Usaha menyingkirkan Khalid bermula dengan‘Langkah Kajang’ sebagai usaha pertama menukar Khalid walaupun awalnya Ketua Umum PKR yang disanjung tinggi, Datuk Seri Anwar Ibrahim beriya-iya menafikan.
Di situlah juga bibit perpecahan Pakatan Rakyat. PKR tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain terlebih terutama PAS terus membuat langkah sumbang yang akhirnya menjadi bibit pertelingkahan PAS-DAP.
PKR menjadikan dirinya seperti tidak berdosa dan maksum sebaliknya PAS pula dijadikan serangan kerana enggan terima pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar wanita pertama di negara ini.
Masih lagi PKR mengikut tata tertib dan demokratik?
Amat menyedihkan apabila ada pemimpin PKR yang masih mampu mengangkat muka, mendabik dada tanpa melihat kepada sejarah dan fakta terus mengkritik UMNO secara keras dalam isu Menteri Besar Kedah.
Lebih baik PKR diam dan muhasabah diri untuk mengelak lebih banyak pekung di dada terburai. Biarpun UMNO sangat tidak disenangi rakyat jelata ketika ini, tapi parti itu tidak memburukkan Mukhriz dan tidak keluarkan dokumen memfitnah Mukhriz.
Tetapi tidak bagi PKR, parti itu sanggup memfitnah Menteri Besar mereka sendiri. Biarpun terpaksa membaca kenyataan mohon maaf di mahkamah, PKR tak kisah kerana cita-cita burukkan dan singkir Khalid telah berjaya.
Dalam hal menjaga tatatertib dengan istana, UMNO dan PKR tidak langsung boleh disamakan kerana UMNO jauh lebih baik dan beradab.
UMNO mengikut protokol dalam urusan menukar Menteri Besar. Lantas, tiga nama calon diberikan kepada Istana Kedah untuk menggantikan Mukhriz.
Tapi PKR dan Pakatan Rakyat? Mereka hanya mencalonkan satu nama. Kononnya tanda sepakat. Tahukah tindakan itu telah membangkitkan kemurkaan Sultan Selangor? Tertib sangatkah langkah PKR itu?
Cermin dulu sebelum berkata-kata jika enggan parti dipandang hina kerana bersuara tanpa fakta.
Bila kita berjalan, jangan hanya mendongak ke langit, selalulah pandang kebawah sambil melihat rumput . Sebelum mengata orang, cerminlah diri. Jika anda lebih buruk lebih baik diamkan diri.