KENYATAAN ISHAK SURIN BUKAN PENDIRIAN PAS BATU, BERSIFAT PERIBADI & CELARU
1. Kami menegaskan bahawa saranan supaya Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul
Hadi Awang mengosongkan kerusi Presiden dan mengetuai Majlis Syura
Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am seperti yang dinyatakan oleh Cikgu
Ishak Surin semalam adalah bukan pendirian PAS Kawasan Batu dan ia tidak
pun mewakili aspirasi seluruh ahli PAS Kawasan Batu. Saranan itu tidak
pernah pun dibincangkan atau diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS
Kawasan Batu. Ia hanya sekadar pandangan peribadi beliau.
2.
Dengan keupayaan Tuan Guru Presiden ‘menangani pelbagai isu dalaman,
tempatan dan antarabangsa’, kami menyatakan sokongan tidak berbelah
bahagi kepada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang untuk terus memimpin PAS
sebagai Presiden.
3. Pemilihan sebagai Presiden PAS bukanlah soal
‘tokoh baharu’. Tetapi ia adalah soal menepati kriteria dan syarat yang
ditentukan oleh syarak; memiliki karater al-Qawiyy dan mempunyai sifat
al-Amin; mujtahid dan mujahid.
4. Tidak timbul juga soal
menggantikan Mursyidul Am PAS kerana kita serahkan sepenuhnya untuk MSU
untuk memutuskan pengganti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
5. Kami juga ingin membuat sedikit pembetulan fakta yang ditulis oleh
Cikgu Ishak Surin. Almarhum Tuan Haji Yusof Rawa bukanlah meletakkan
jawatan Presiden kerana menjadi Mursyidul AM tetapi beliau menjadi
Presiden dan Mursyidul Am serentak. Hanya pada hujung tahun 1988, beliau
jatuh sakit dan melepaskan jawatan Presiden kepada Almarhum Ustaz
Fadzil Noor, namun beliau kekal sbg Mursyidul AM.
6. Apa yang
lebih munasabah ialah kami menyarankan agar Yang Berbahagia Cikgu Ishak
Surin mengosongkan kerusi YDP PAS Kawasan Batu pada pemilihan Mesyuarat
Agung PAS Kawasan Batu pada April ini bagi memberi laluan kepada tokoh
yang lebih berwibawa dan berkredibiliti untuk mengepalai PAS Kawasan
Batu.
7. Saranan ini juga dibuat berikutan masalah kesihatan yang
dihadapi oleh Cikgu Ishak Surin, komitmen terhadap PAS Kawasan Batu
semakin menurun, gagal mengadakan mesyuarat secara berkala dan
konsisten, serta kehadiran ke mesyuarat Badan Perhubungan PAS Wilayah
Persekutuan yang sangat lemah.
8. Sebagai orang lama yang
berpengalaman, saranan ini tidak bermaksud kami mahu mengetepikan Cikgu
Ishak Surin dalam PAS Kawasan Batu, sebaliknya mencadangkan tokoh
Karismatik PAS Kawasan Batu ini diangkat lebih tinggi sebagai
‘penasihat’ kepada kami semua.
Sekian.
1. USTAZ AZHAR YAHYA
Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Batu
2. NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu
3. HAJAH SALBIAH ABD WAHAB
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu
Tarikh : 27 Februari 2015 / 8 Jamadilawal 1436H
Kenyataan media diatas adalah susulan dari menyataan Ishak Surin dibawah semalam ....
KENYATAAN MEDIA
SARAN TG ABDUL HADI BERI LALUAN TOKOH BAHARU ISI KERUSI PRESIDEN, PERKASAKAN MSU JADI MURSYIDUL AM PAS
1. Pas Kawasan Batu menyarankan agar Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang mengosongkan kerusi Presiden pada pemilihan Muktamar Pas ke 61,
Mei ini, bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti
Islam terbesar ini.
2. Saranan ini
tidak bermaksud Pas Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus
perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik Pas
ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai
Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Tuan Guru Dato' Nik Abdul
Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.
3.
Sesuai dengan kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi di peringkat antarabangsa
selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am
adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa Pas menangani pelbagai
isu dalaman, tempatan dan antarabangsa.
4. Pas Kawasan Batu juga
bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh
Perlembagaan Pas dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada
semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu Pas pada pemilihan kali
ini.
5. Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap
berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka Pas Kawasan Batu mohon
Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya
sesuatu yg positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yg dibawa
oleh Pas.
6. Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am Pas diwujudkan
pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji
Yusuf Ar Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan
Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.
7. Tempat
kosong yg ditinggalkan oleh Hj Yusuf Ar Rawa itu kemudiannya diisi oleh
Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden. Setelah Hj Yusuf Ar
Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Tuan
Guru Nik Abdul Aziz.
8. Sehubungan itu, Pas Kawasan Batu
berkeyakinan penuh, jika diterima saranan ini, kepimpinan Tuan Guru
Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam
memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan
mendapat limpahan redha Allah SWT.
HAJI ISHAK BIN SURIN
Yang DiPertua Pas
Kawasan Batu, Kuala Lumpur
Tel: 013 3291966
26 Februari 2015