JAKARTA: Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) Setya Novanto meletak jawatan setelah didapati terbabit dalam kes melanggar kod etika kerana meminta saham dari sebuah syarikat menggunakan nama Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden Jusuf Kalla.
Peletakan jawatannya diterima oleh Mahkamah Kehormatan Dewan (MKD) malam tadi setelah Timbalan Ketua MKD Sufmi Dasco Ahmad membacakan surat pengunduran diri Novanto dalam satu mesyuarat tertutup.
Menerusi siaran langsung televisyen tempatan lewat malam tadi, Sufmi berkata, Novanto yang dilantik sebagai Speaker bagi tempoh 2014-2019, meletakkan jawatannya demi kebaikan bangsa dan negara.
Kes Novanto dibongkarkan media tempatan dengan tajuk `Papa Minta Saham’ yang menyebabkan Joko dan Jusuf berang serta mahu kes itu dibawa kemuka pengadilan bagi membersihkan nama mereka.
Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Sudirman Said kemudian membuat aduan kepada MKD untuk menafikan penglibatan presiden dan naib presiden yang didakwa meminta saham syarikat cari gali bijih.
Presiden Direktor PT Freeport Indonesia, Ma’roef Sjamsoeddin pula menyerahkan pita rakaman perbualannya kepada MKD yang memetik Novanto menyebut:
“Ada permintaan saham Freeport yang diperuntukkan untuk Presiden dan wakil Presiden sebagai syarat untuk melanjutkan kontrak Freeport di Indonesia”.
Novanto sebelum itu turut menafikan penglibatannya menggunakan nama Presiden dan Naib Presiden meminta saham dari syarikat berkenaan.
Dalam perbicaraan MKD yang disertai beberapa wakil rakyat akhirnya membuat keputusan bahawa sememangnya terdapat kes salah laku melanggar etika, namun, belum sempat hukuman dikenakan terhadap Novanto, wakil rakyat dari parti Golkar berkenaan menghantar surat peletakan jawatan.
Sementara itu, laporan media tempatan memetik Jusuf sebagai berkata, beliau menghargai tindakan Novanto tetapi menyifatkannya agak terlambat kerana sepatutnya peletakan jawatan itu dibuat lebih awal sebelum terjerat dengan kes di MKD.
No comments:
Post a Comment