Thursday 17 December 2015

"LIL SESUNGGUHNYA AMAT ISTIMEWA DAN TIDAK AKAN DILUPAKAN"



Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berdoa dan menghantar ucapan takziah atas kemangkatan anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil.


"Perasaan kasih yang telah ditunjuk dan dikongsi oleh anda semua terhadap Almarhum sangat mendalam dan mengesankan dan telah membantu melegakan hati kami yang berduka ini," titah baginda.


Tunku Abdul Jalil, 25, kembali ke rahmatullah pada 5 Disember akibat barah hati.

Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di Johor Baru.

Tunku Abdul Jalil adalah anakanda keempat Sultan Ibrahim.


Sehubungan itu, Sultan Ibrahim berharap Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang mana telah diasaskan oleh Almarhum bagi membantu mereka yang menderita dari kanser akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tua dan muda, yang sedang bergelut dengan penyakit tersebut.


Berikut adalah mesej penuh Sultan Ibrahim, seperti yang disiarkan di laman rasmi Facebook baginda:


"Telah 12 hari berlalu semenjak anakanda saya, Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Laksamana Johor, meninggalkan kita.


Saya dan keluarga ingin merakamkan penghargaan kami kepada anda semua yang telah berdoa dan menghantar ucapan takziah buat Almarhum dan kami sekeluarga.


Saya juga sesungguhnya amat menghargai serta Menjunjung setinggi kasih keatas Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Pahang Darul Makmur, Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, kerana telah Mencemar Duli turut bersama sewaktu pemakaman Almarhum.


Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Paduka-Paduka Kekanda dan Adinda Sultan-Sultan yang lain diatas ucapan takziah yang telah diterima dan diatas keberangkatan wakil masing-masing.


Terima kasih juga kepada ahli-ahli majlis eksekutif, menteri-menteri, orang-orang kenamaan asing, kaum kerabat, rakan-rakan, Bangsa Johor, dan semua rakyat Malaysia, yang telah hadir memberi penghormataan terakhir kepada Almarhum.


"Ia sesungguhnya satu masa yang pedih buat keluarga kami untuk menghadapi apa yang berlaku walaupun kami menyimpan semua memori indah tentangnya.


Perasaan kasih yang telah ditunjuk dan dikongsi oleh anda semua terhadap Almarhum sangat mendalam dan mengesankan, dan telah membantu melegakan hati kami yang berduka ini.


Sebagai seorang bapa, kesakitan kehilangan seorang anak adalah amat memeritkan. Tiada ibu atau bapa yang patut mengebumikan anak mereka, namun, Allah juga Yang Maha Mengetahui.


Almarhum merupakan seorang yang rendah diri, baik hati dan penyayang, dan saya amat berbangga dengannya. Walaupun disaat-saat terakhirnya, Almarhum sedang menanggung kesakitan yang amat sangat, kebimbangannya bukan tentang dirinya sendiri tetapi tentang kami semua.


Senyumannya menyinari kehidupan kami dan walaupun dia telah meninggalkan kami sebelum kami bersedia melepaskannya, dia akan terus kekal didalam hati kami selama-lamanya.


Saya berharap Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang mana telah diasaskan oleh Almarhum bagi membantu mereka yang menderita dari kanser akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tua dan muda, yang sedang bergelut dengan penyakit tersebut.


Lil sesungguhnya istimewa dan tidak akan dilupakan. Mama, abang-abang, kakak, adik-adik Lil dan Babah, akan mengingati Lil sepanjang hayat kami.


Al-Fatihah."-
Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.

2 comments:

  1. Al-Fatihah.
    Mudah2an ditempatkan bersama mereka yang bertaqwa

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...