SUNGAI BULOH 29 JULAI: 10 tahun hidup tertekan, akhirnya penghuni kira-kira 150 kediaman sepanjang jalan utama Kampung Melayu Sungai Buloh mampu menarik nafas lega apabila projek infrastruktur bagi mencegah kejadian banjir kilat di kawasan kediaman mereka itu siap sepenuhnya.
Projek mengatasi masalah banjir kilat itu melibatkan pembesaran Sungai Buloh dan juga pembinaan sebuah longkang besar selebar dua meter yang menjangkau sejauh 400 meter.
Menurut Penolong Pegawai Penyelaras (Pendidikan dan Infra) Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras, Harri Mohd Hassan projek yang menelan belanja hampir RM400 ribu itu disiapkan sepenuhnya pada November lalu.
Sebelum ini, lebih kurang 10 tahun masyarakat di sini terpaksa menanggung kerugian yang teruk setiap kali hujan lebat dan banjir kilat berlaku.
“Air banjir kilat memang naik dengan cepat dan kadang-kadang menyebabkan penduduk tak sempat selamatkan perabut, barangan elektrik dan sebagainya.
“Tetapi sekarang Alhamdullilah, semenjak longkang besar ini siap dibina dan kerja melebarkan Sungai Buloh dibuat, belum ada berlaku banjir kilat lagi, walaupun hujan turun dengan lebat.
“Maknanya pelan perancangan yang dibuat ini memang berjaya mencegah kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui Selangor Kini baru-baru ini.
Menurut Harri, pemimpin Kerajaan Negeri BN terdahulu mengambil sikap sambil lewa terhadap masalah infrastruktur sehinggakan masalah banjir kilat di kawasan terbabit berlarutan dalam jangka masa yang panjang.
“Dahulu, masa bawah BN, bukan tak ada kerja menaiktaraf longkang dilakukan, tetapi kerja dibuat seperti melepas batuk di tangga.
“Buat kerja tak sempurna, kerja tak siap, buat sini sikit, sana sikit dan akhirnya duit kerajaan keluar, tetapi masalah tak juga selesai.
“Kalau dahulu mereka buat perancangan dan kerja atasi banjir ini dengan serius dan sempurna, ia tak akan berlarutan, patut dah lama selesai,” kata Harri.
Menurut Ketua Kampung terbabit, Zulkikli Abu Hassan kepada Selangor Kini, projek infrastruktur Kerajaan Negeri itu membuatkan kehidupan penduduk di kawasan itu lebih selesa berbanding sebelumnya.
“Sebelum ini memang teruk, sampaikan kalau kita berada di tempat lain atau sedang berkerja, bila hujan sahaja hati mula tak tenang sebab hujan kejap pun dah menyebabkan rumah dimasuki air banjir.
“Sekarang dah okey, memang lega banyak sebab bila hujan air mengalir terus ke dalam longkang besar yang baru, hati tak susah macam dahulu.
Bukan sahaja menyelamatkan harta benda penduduk kampung sahaja, dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh dan Sekolah Agama Zahidiah yang sebelum ini kerap dinaiki air juga terselamat,”kata Zulkikli.
No comments:
Post a Comment