Biarpun mendapat perhatian umum susulan dakwaan mengeluarkan ancaman "rogol" terhadap jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin, Sharul Nizam Ab Rahim mempertahankan dirinya dengan mengatakan berhak mengamalkan kebebasan bersuara dengan mengkritik pandangan bekas pegawai kerajaan itu di laman Facebook miliknya.
Penyelamat haiwan itu mendedahkan dalam posting lain di Facebook beliau gemar menggunakan bahasa kasar dan percaya posting terhadap Noor Farida itu disalah anggap kerana "kegagalan memahami bahasa Melayu".
"Saya tidak pernah menggunakan perkataan 'rogol' dalam catatan saya.
"Mereka yang mengenali saya juga akan tahu saya menyindir dan tidak serius.
"Tetapi catatan itu dikeluarkan daripada Facebook kerana banyak laporan terhadapnya," katanya.
Posting kontroversi Sharul Nizam mempertikaikan komen Noor Farida yang dibuat mengenai keperluan untuk menyemak semula undang-undang syariah pada satu forum umum, baru-baru ini.
Dalam forum itu, Noor Farida mengambil isu khalwat sebagai contohnya.
Sharul Nizam dalam postingnya menyatakan mahu memecah masuk rumah Noor Farida, berbaring di atas katilnya dan "mencuba" beliau.
Beberapa laporan polis, termasuk satu daripada pemimpin Wanita DAP Pulau Pinang, dibuat terhadap Shahrul Nizam.
Lelaki berusia 36 tahun dari Padang Rengas, Perak itu berkata, sejak kejadian itu beliau tidak dapat mengakses akaun Facebook miliknya kerana banyak aduan dibuat di laman sosial berkenaan, menyebabkan akaunnya disekat dan tidak boleh diakses untuk tempoh 2 minggu lagi.
"Ini bukan kali pertama saya diharamkan melayari Facebook.
"Secara purata saya disekat sebulan sekali. Dalam tempoh 3 bulan lalu, ia disekat sebanyak 3 kali.
"Seperti seorang wanita yang datang bulan," katanya dalam nada sindiran.
Beliau pernah diharamkan di Facebook sebanyak 2 kali sebelum ini kerana mengulas mengenai penyembelihan lembu pada Hari Raya Haji tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Veterinar dan menyatakan peguam dan ahli politik, mendiang Karpal Singh sebagai Benggali dan bukannya Sikh.
Katanya, beliau juga pernah dikutuk orang Melayu di media sosial kerana membela anjing di rumahnya dan ada yang mendesak jabatan agama mengambil tindakan terhadapnya.
"Tulisan saya sentiasa dianggap sebagai menyakitkan mental atau emosi orang lain," katanya.
Bagaimanapun, Sharul Nizam berkata beliau tidak bersetuju dengan Noor Farida didakwa mengikut Akta Hasutan kerana mendesak suatu kajian semula undang-undang syariah berhubung khalwat.
"Saya akan bersetuju jika dia didakwa mengikut enakmen syariah kerana menghina atau menggambarkan Islam sebagai agama yang buruk tetapi bukan undang-undang sivil."
Katanya, beliau mempertahankan undang-undang Syariah terhadap khalwat dan merasakan adalah tidak wajar bagi Noor Farida secara terbuka menuntut pemansuhan larangan agama itu.
"Undang-undang syariah perlu dibincangkan secara tertutup, bukan mendesak supaya ia dimansuhkan pada sidang media selepas forum itu," katanya.
Sharul Nizam berkata, setakat ini beliau berjumpa dengan seorang peguam namun enggan mengulas sama ada polis pernah menghubunginya untuk menyiasat dakwaan "ancaman" terhadap Noor Farida.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Goh Kok Liang sebelum ini berkata polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan Sharul Nizam.
Beliau berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta SKMM sudah dibuka selepas 2 laporan polis dibuat di Pulau Pinang manakala 1 lagi di Perak.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto membuat satu laporan di Bercham, Ipoh selepas membaca laporan berita Malay Mail Online yang mendakwa seorang lelaki mengancam untuk memecah masuk rumah jurucakap G25 dan merogolnya berhubung kritikan terhadap pandangan pemansuhan hukuman khalwat.
Laporan itu menyatakan walaupun perkataan "rogol" tidak digunakan dalam posting itu, namun ia mengandungi unsur ugutan dan keganasan terhadap wanita, yang tidak boleh dipandang ringan.