Thursday 27 October 2011

SURAT TERBUKA ADIK MENDIANG TEOH BENG HOCK


Terlampaukah untuk mengetahui bagaimana Beng Hock temui ajal?




Kami sekeluarga, berasa amat pilu dengan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masih dalam siasatan dalaman.  27 bulan telah berlalu, iaitu sebanyak 833 hari - saban hari kami menunggu kebenaran sejak kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM.

Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) jelas menyebut tiga nama, iaitu "the bully" Mohd Anuar Isamil (pegawai penyiasat), "the abuser" Mohd Ashraf Mohd Yunus (penolong pegawai penyiasat) dan "the arrogant leader" Hishammuddin Hashim (bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor), terbabit dengan penggunaan keganasan yang tidak wajar.  Namun, selepas tiga bulan laporan diumumkan, SPRM pula menubuhkan panel siasatan khas untuk menyiasat tiga orang yang disebut nama dalam Laporan RCI.  Dengan kata lain, kerajaan juga mengambil sikap ragu-ragu, dan bukannya menaruh kepercayaan 100% terhadap laporan RCI.

Kita mengetepikan sementara soal kemunasabahan panel siasatan khas yang diterajui SPRM untuk menyiasat pegawai SPRM.  Apa yang kami tidak faham, seandainya kerajaan menganggap laporan RCI tidak memiliki bukti yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap pegawai yang menggunakan keganasan yang tidak wajar, mengapa pula meminta keluarga kami untuk menerima laporan RCI, lantas menerima keputusan bahawa Teoh Beng Hock di-"bunuh diri" - dalam laporan yang sarat dengan kesangsian?

Siapa yang menyebabkan beliau di-bunuh diri?  Mengapa orang yang menyebabkan beliau di-bunuh diri itu tidak menerima hukuman yang setimpal?  Mengapa pula kami diminta untuk menerima kesudahan yang mana kebenaran tidak ditemui?  Kami menurut apa yang dikatakan kerajaan, selepas laporan RCI diumumkan.  Untuk tiga bulan kami menunggu dengan penuh kesabaran.  Namun, kata hanya tinggal kata dalam udara.  Mengapa SPRM dan kerajaan tidak mengambil tindakan sehingga hari ini, untuk mendedahkan kebenaran?

Seandainya Nazri (gambar kiri) sendiri pun tidak yakin dengan laporan RCI, mengapa pula keluarga kami perlu menerima laporan ini?  Mengapa dua kayu ukur (double standard) dalam isu ini?  Mengapa kerajaan boleh memilih untuk tidak menaruh kepercayaan terhadap laporan ini, tetapi keluarga kami pula dilarang untuk menolak laporan yang sama?

Jikalau itu keadaannya, maka bukankah penubuhan RCI itu membazir masa, memperlekehkan keluarga kami, dan membazir dana awam?

Kenyataan sedemikian bukan sahaja mempertikaikan kredibiliti laporan RCI, memberi tamparan terhadap Pengerusinya, James Foong, malah pada masa yang sama menabur garam pada luka keluarga kami.

Dari inkues ke RCI, kami menyaksikan bagaimana kerajaan melengah-lengahkan masa, lantas kebenaran dan bukti ditenggelami masa sehingga gagal ditemui.  Kepiluan yang terpendam dalam hati kami tidak berkurang dengan berlalunya masa, sebaliknya tekad kami untuk mencari kebenaran semakin membara.  Ini kerana "sesuatu yang tidak kena" dirasai, apabila satu helah cuma ditutup dengan satu helah yang lain.

Kebenaran, pada hakikatnya berada dalam hati setiap orang.

Sebagai keluarga mendiang Teoh Beng Hock, kami terpaksa mengajukan soalan berikut kepada kerajaan:

1. Seandainya bukti tidak mencukupi, mengapa tidak mengarahkan agar RCI meneruskan siasatan, sebaliknya menubuhkan satu lagi panel siasatan khas oleh SPRM, dan memberi laluan kepada siasatan orang sendiri terhadap orang sendiri?  Selain itu, lantaran daripada kesangsian yang tercungkil dari kenyataan Nazri, dan soalan yang dilontarkan kepada Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara - kami meminta pihak yang berkenaan untuk memberi jawapan kepada keluarga Teoh dan orang awam, malah mengumumkan secara terbuka prosedur siasatan, had tempoh siasatan dan siapa yang menerajui prosedur tersebut.

2. Menurut Nazri, laporan disiplin telah dirangka panel siasatan khas, dan dikemukakan kepada jawatankuasa aduan SPRM.  Kami ingin bertanya, apakah kandungan laporan disiplin tersebut?  Bilakah laporan ini boleh diumumkan, agar keluarga kami jelas dengan apa yang berlaku?

3. Nazri berkata, seandainya pendakwaan jenayah dilakukan, maka polis perlu membuka fail semula untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Kami ingin tanya, adakah polis bertekad untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock?  Seandainya tidak membuka fail, apakah ia bermakna pihaknya tidak sanggup menyiasat kebenaran kes yang meragut nyawa ini?  Jikalau fail ingin dibuka, bila masanya?  Bilakah siasatan boleh ditamatkan?  Keluarga kami telah menunggu untuk 27 bulan, kini merayu hanya untuk satu jawapan.

4. Apakah polis tidak menyiasat dengan sebaik-baiknya pada peringkat awal kematian Teoh Beng Hock?  Sekarang baru nak buka fail siasatan?  Nazri melontarkan persoalan ini kepada Menteri KDN, polis dan panel siasatan khas SPRM, siapa yang menerajui sebenarnya?  Kepada siapa kami perlu memohon jawapan?  Teoh Beng Hock telah meninggal dunia.  Apakah ia sesuatu yang melampau untuk kami mengetahui bagaimana beliau menemui ajal?

Terima kasih.
Lee Lan

1 comment:

  1. Kepada keluarga Teo suka saya menyarankan agar berdoa selalu untuk menjatuhkan kerajaan zalim bn ini pada pru akan datang ingat lah doa orang yang dizalimi akan sentiasa diangkat oleh Tuhan tak kira siapapun iya...

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...