Pergerakan Pemuda Umno sedia membantu PAS Kelantan untuk memberi penerangan dan perincian berkaitan hukum hudud kepada golongan muda bukan Islam.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun (gambar) berharap kerajaan negeri Kelantan dapat menerima pelawaan Pemuda Umno dan mengadakan perbincangan bersama untuk menerangkan versi hukum hudud.
"Pemuda bersifat positif dan gembira sekiranya Pemuda PAS boleh bersama sama dengan pergerakan Pemuda Umno bergabung untuk kita turun padang dan perjelaskan kepada masyarakat terutama generasi muda apakah hudud yang sebenarnya.
"Kita tidak ada niat politik, tidak langsung ada agenda untuk menjadi juara terhadap hukum hudud ini tetapi lebih penting adalah pemahaman yang sebenar dapat diberi kepada masyarakat umum," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Azmir Yuzaimi Mohd Yunos.
Khairul Azwan mencadangkan pelbagai pendekatan termasuk program dialog di universiti-universiti tempatan, memperkenalkan video klip pendek tentang hukum hudud dan ceramah yang dimuat naik di laman sosial.
Mengulas tentangan terhadap hukum hudud daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau berkata tentangan itu adalah kerana mereka risau serta tidak jelas dengan hukum hudud.
"Tetapi kepimpinan Pemuda MIC dan Gerakan dalam semangat setia kawan BN bersetuju untuk menerima penjelasan dan penerangan daripada biro agama untuk lebih memahami hukum ini," katanya.