Friday 29 August 2014

BEKAS AHLI MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA (MPSJ) DI PENJARA 3 TAHUN DAN DENDA RM100,000 KERANA BERSALAH DUA PERTUDUHAN SALAH GUNA KUASA DAN MEMALSUKAN DOKUMEN.



Bekas Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dipenjara 3 tahun dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini  selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan salah guna kuasa dan memalsukan dokumen, empat tahun lalu.

Hakim M Bakri Abdul Majid membuat keputusan tersebut terhadap Hamdan Ismail, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan pada akhir kes.

Menurutnya, keterangan tertuduh dalam kes pembelaan adalah bersifat penafian semata-mata.

"Mahkamah juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa dua saksi pembelaan yang hadir memberi keterangan hanyalah untuk menyangkal tuduhan," katanya.

Hamdan pada ketika itu merupakan Ahli Majlis MPSJ Zon 19, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan bagi syarikat milik anaknya, Yuwafee Heidi, iaitu Alam Muhibbah Enterprise untuk melaksanakan kerja membina bonggol di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta baik pulih jalan di sekitar Taman Equine, Seri Kembangan pada harga RM19,790.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat MPSJ, Subang Jaya pada Februari 2010.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000.

Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, penjara setahun akan dikenakan ke atasnya.

Hamdan turut didakwa atas tuduhan menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu sebagai tulen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ, pada 3 Disember 2010.

Bapa kepada lima anak itu dijatuhi hukuman setahun bagi kesalahan tersebut dan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sukri Seman mengikut mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Peguam, Ahmad Nizam Hamid yang mewakili tertuduh memohon penangguhan perlaksanaan hukuman atas alasan akan memfailkan rayuan di mahkamah tinggi terhadap keputusan itu.

M Bakri membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman dengan syarat wang jaminan dinaikkan kepada RM15,000.

Mahkamah juga mengarahkan notis rayuan tersebut difailkan sebelum 2 September selain pasport diserahkan.

1 comment:

  1. Semoga menjadi ikhtibar mereka yg bergelar Ahli Majlis...jgn persendakan amanah rakyat...

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...