Apabila Pakatan Rakyat akan mengambil tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan nanti, persoalan apakah tindakan yang akan diambil ke atas semua kroni Barisan Nasional (BN) serta semua harta dan kekayaan yang dijarah mereka akan timbul. Ketika ini di Malaysia, kita tiada undang-undang untuk perkara seperti ini dan ia penting untuk direncanakan mulai sekarang. Kita bercakap tentang harta dan kekayaan yang berbilion-bilion baik di dalam mahupun di luar negara.
Sudah pasti ahli perniagaan dan ahli politik yang berkaitan harus di soalsiasat, dan diberikan hak untuk didakwa secara adil. Namun, sekiranya kekayaan yang dimiliki atau dikumpul mereka tidak dapat dibuktikan secara sah mengikut lunas-lunas undang-undang, yakni terduga salahlaku rasuah, negara mempunyai hak untuk memilik-negarakan harta kekayaan itu.
Dimilik-negarakan bermakna pemulangan harta kekayaan yang dirampas, dikembalikan kepada pemilik sebenar yakni rakyat jelata yang selama ini hidup penuh kesengsaraan. Jangan lupa juga dengan segala harta-benda dan wang pelbagai jenis yang disorok di luar negara sana.
Cuba kita ambil Pengeluar Tenaga Bebas (PTB) – IPP, Independent Power Producer sebagai contoh. Mereka dikatakan mendapat keuntungan berbilion ringgit tetapi masih berdegil menurunkan tarif elektrik. Mereka dibayar oleh Tenaga dan Tenaga mendapat hasilnya melalui orang ramai. Ini bermakna PTB mendapatkan wang dari rakyat di mana Tenaga sebagai ‘orang tengah’.
Jika ada salahlaku atau dugaan rasuah di dalam pemberian kontrak niaga kepada mereka ini, maka selama ini rakyat telah terpedaya. Kerajaan baru harus diberikan mandat untuk menasionalisasikan harta yang dirampas tadi. Selain itu, pemilik syarikat yang terbabit perlu didatangkan ke mahkamah jenayah.
Mari kita lihat satu lagi contoh iaitu Astro. Satu pembolotan punca niaga yang semakin dipersoalkan dari segi programnya, perkhdimatan yang buruk serta bayaran perkhidmatan yang meningkat. Hasil keuntungan mereka datang dari setiap individu yang menggunakan khidmat mereka. Persoalan utama di sini ialah, bagaimana Astro diberikan izin untuk membolot punca niaga ini? Kita bercakap pasal hiburan bukan keselamatan negara! Bagaimana kerajaan boleh menghadiahkan Astro mendapat hak perniagaan yang melampau ini?
Pemilik Astro, Ananda Krishnan, baru-baru ini telah didakwa oleh Biro Siasatan Pusat, India (CBI – Central Bureau of Investigation) atas kes rasuah yang melibatkan bekas Menteri Telekomunikasi negara itu. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Rakyat nanti. Kerajaan BN yang memerintah sekarang menolak untuk menyiasat Ananda, mengundang pelbagai reaksi. Sekiranya salahlaku rasuah dalam pemberian lesen untuk Astro menyiarkan siaran di Malaysia boleh dibuktikan, pada akhirnya nanti, pusat penyiaran itu boleh dimilik-negarakan.
Dan banyak lagi yang akan menyusul. Rakyat perlukan keadilan ini. Dan para kroni perlu pula diadili..
No comments:
Post a Comment