
PKR dakwa pengarah NFC beli lot kedai di Bangsar
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai berkenaan.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli dengan nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

Rafizi mendakwa pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan juga oleh individu yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.
Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.
Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.
Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.
Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.
Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.
Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.
Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan.
No comments:
Post a Comment