Thursday, 10 October 2013

PEMANDANGAN DI ARAFAH SELEPAS HUJAN RIBUT PETANG SEMALAM.


MAKKAH - Hujan ribut di Arafah petang semalam yang mengakibatkan beberapa buah khemah untuk jemaah Malaysia runtuh tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk menguruskan jemaah menunaikan wukuf empat hari lagi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, khemah-khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat.


Katanya cuaca hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah kes biasa dan pengurusan TH bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang musim haji adalah perkara biasa berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas...


Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman lepas untuk meningkatkan persiapan kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki Tanah Suci ekoran cuaca buruk dan banjir di Arafah.


Jamil Khir berkata, semua jemaah haji Malaysia telahpun memasuki Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang menerusi TH menghadapi sebarang masalah.


"Ada berita yang saya dengar ialah terdapat jemaah dari syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.


Sementara itu, TH dalam kenyataan akhbarnya di sini berkata dakwaan kononnya Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah ditutup ekoran cuaca buruk adalah tidak benar.


"Terminal Haji itu ditutup semalam adalah kerana tiada lagi penerbangan haji yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.


Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki hari ini dan cuaca dilaporkan kembali panas hari ini sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah yang basah.


Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan wukuf di Arafah pada 14 Oktober ini. - Bernama

1 comment:

  1. Tempat paling mencabar kesabaran, ketahanan diri dan keimanan seseorang yang mengerjakan fardhu haji ialah di padang Arafah. Di sinilah selama sehari semalam kita berkumpul dalam keadaan serba kekurangan - air, tandas yang terlalu kotor, khemah yang kecil dan rapat2, cuaca yang panas terik dan kesihatan yang biasanya terganggu. Di sini kita tidak seharusnya tidur panjang tetapi perlu membanyakkan amal ibadah - solat sunat, membaca alQuran, berzikir dan sebagainya. Biar pun hanya sehari semalam di sini, kita akan merasakan hari berjalan terlalu lambat. Selain di Arafah, satu lagi tempat yang dianggap mencabar adalah di Mina. Di sini selama 3 hari kita berkumpul untuk melontar 3 jamrah selama 3 hari. Untuk melontar jamrah, kita perlukan fizikal yang kuat kerana terpaksa berasak2 dengan ribuan manusia pada waktu yang sama. Untungnya, jemaah Malaysia hanya perlu melontar jamrah pada waktu jemaah dari negara lain telah habis melakukannya disebabkan perbezaan pendapat antara mazhab.

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...