Tuesday 9 September 2014

KENYATAAN RASMI LAJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI (LUHAM) PAS PUSAT DAN IKATAN ILMUAN NASIONAL (ILMUAN) ISU BERKAITAN KEMELUT POLITIK SELANGOR.



KENYATAAN RASMI
LAJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI (LUHAM) PAS PUSAT

BERKENAAN KUASA MAJLIS SYURA ULAMA DAN PRESIDEN PAS DI BAWAH PERLEMBAGAAN PAS


Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat ( LUHAM ) telah bermesyuarat pada 8hb September 2014 bagi membincangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama ( MSU ) pada 7 September 2014. Setelah berbincang dan meneliti segala peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS termasuk peruntukan-peruntukan tertentu yang dirujuk oleh MSU di dalam kenyataan rasmi tersebut, LUHAM sebulat suara bersetuju supaya suatu kenyataan rasmi dibuat bagi menyatakan pandangan LUHAM berkenaan isu yang dibangkitkan dalam kenyataan rasmi MSU tersebut.

LUHAM berpendapat bahawa walaupun Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS memberi kuasa kepada MSU untuk menghurai, menjelaskan dan menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan di dalam Perlembagaan PAS sepertimana yang dinyatakan oleh MSU di dalam kenyataan rasmi badan itu, namun terdapat dua (2) prasyarat yang perlu dipenuhi sepertimana yang dinyatakan di Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS iaitu perlunya ada perselisihan faham dan adanya rujukan secara rasmi kepada MSU terlebih dahulu.

Kemudiannya, jika dilihat kepada Fasal 8 (1) (a) tersebut, peruntukan itu juga menyebut bahawa kuasa menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS itu hanya timbul jika timbulnya kesamaran mengenai maksud dan tujuan mana-mana peruntukan Perlembagaan tersebut.

Dengan tidak menafikan kewujudan kuasa MSU bagi menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS jika timbulnya kesamaran, LUHAM juga berpendapat menjadi satu keperluan juga bagi MSU benar-benar mengetahui dan memahami kaedah-kaedah penafsiran sesuatu Perlembagan supaya apa-apa tafsiran yang diberikan adalah lebih tepat, munasabah dan memenuhi ruh, matan dan niat perlembagaan itu sendiri.

LUHAM berpendapat tidak salah bagi MSU sepatutnya merujuk kepada LUHAM bagi membantu MSU dalam melaksanakan kuasa yang diberi kepadanya untuk menghurai, menjelas dan menafsir peruntukan dalam Perlembagaan PAS kerana LUHAM adalah lajnah yang telah diamanahkan oleh parti di dalam apa-apa urusan perundangan dan berdasarkan amalan yang berlaku di dalam PAS, segala persoalan undang-undang yang melibatkan parti termasuk dalam memahami peruntukan undang-undang termasuk Perlembagaan parti rujukan lazimnya diajukan kepada LUHAM terlebih dahulu.

Bagi tujuan kenyataan rasmi ini, LUHAM akan menyentuh tentang dua (2) perkara iaitu isu:-

A) Kuasa MSU berdasarkan Perlembagaan PAS; dan
B) Kuasa Presiden PAS yang dikatakan oleh MSU sebagai pihak yang mempunyai kuasa pemutus di bawah Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS.

ISU PERTAMA

1. Mengenai isu pertama iaitu berkaitan isu bidangkuasa dan kuasa MSU : LUHAM ingin menyatakan bahawa jika dilihat kepada Perlembagaan PAS, kewujudan MSU adalah terhad bagi melaksanakan hasrat berikut iaitu bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7 (2) dan badan-badan yang diberikan kuasa oleh Muktamar PAS tidak keluar dari kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dan juga tidak berlawanan dengan dasar PAS (Lihat Fasal 8 (1) Perlembagaan PAS). Adapun kuasa-kuasa MSU diperuntukan di dalam Fasal 8 (1) (a) hingga (c) Perlembagaan PAS.

2. Telah menjadi pengetahuan umum bahawa MSU (di atas sebab yang hanya diketahui oleh badan itu) telah turutsama terlibat dalam isu pemilihan calon MB Selangor. Ini boleh dilihat dalam beberapa kenyataan rasmi yang dibuat oleh MSU berhubung perkara tersebut. Persoalan yang timbul adalah, adakah Perlembagaan PAS memberi kuasa kepada MSU untuk berbuat demikian?

3. LUHAM berpendapat MSU, dengan penuh hormat, telah bertindak melampaui kuasanya apabila badan itu membuat keputusan dalam isu yang melibatkan pelantikan MB Selangor. Alasan LUHAM adalah seperti berikut.

4. Isu pelantikan MB Selangor tidak melibatkan perkara yang bertentangan dengan kehendak-kehendak Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dan juga tidak berlawanan dengan dasar PAS. Satu fakta yang tidak dipertikaikan adalah PAS telah bersetuju mengadakan tahaluf atau kerjasama dengan Pakatan dan kerjasama tersebut telah disahkan oleh Muktamar PAS dan sehingga kini tidak pernah dibatalkan. Menurut Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar PAS. Memandangkan Muktamar PAS, sebagai kuasa tertinggi dalam PAS, telah memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan maka tidak dapat tidak, di dalam apa sahaja tindakan dan keputusannya, maka MSU mahupun PAS mesti bertindak selari dengan ketetapan Mukamar PAS tersebut.

5. Isu pokok yang berbangkit dalam isu MB Selangor ini adalah Presiden telah membuat ketetapan untuk menghantar nama daripada PAS sebagai calon MB (yang kemudiannya disokong oleh MSU). Sedangkan, Presiden sendiri sebelum ini telah menyatakan bahawa PAS tidak akan menuntut jawatan MB Selangor memandangkan ia adalah milik PKR. LUHAM percaya ini adalah berdasarkan kepada ketetapan Muktamar yang memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan. Justeru, apabila nama ADUN PAS turut dicalonkan sebagai MB Selangor, tidakkan ia menyalahi perjanjian PAS di dalam Pakatan itu sendiri? Tidakkah perlanggaran ini menjurus kepada pelanggaran keputusan Muktamar itu sendiri? Oleh itu, LUHAM berpendapat tidak wujud sebarang perselisihan faham dalam hal keputusan Muktamar ini yang perlu kepada tafsiran oleh MSU.

6. Isu pelantikan MB Selangor juga tidak melibatkan keperluan untuk MSU menghurai, menjelas dan menafsirkan mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS. Maka LUHAM tidak nampak apakah keperluan atau justifikasi untuk MSU terlibat dalam perkara yang tidak termasuk dalam bidangkuasa badan tersebut sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan PAS.

7. Hatta, jika MSU berpendapat isu pelantikan MB Selangor ini melibatkan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berdasarkan Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS, badan itu hanya boleh bertindak sekiranya ada rujukan dibuat kepada badan itu.

8. Di dalam bahasa perundangan, kuasa MSU adalah kuasa atas rujukan (“referral”) dan bukan kuasa "of first instance" atau kuasa yang sedia ada (inherent). Dengan ketiadaan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berhubung isu pelantikan MB Selangor dan dengan ketiadaan rujukan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada MSU bagi MSU menafsir Perlembagaan PAS, maka, tindakan MSU mencampuri isu pelantikan MB Selangor itu, dengan hormat, adalah “non-starter”.

9. Apa yang jelas isu mengenai pelantikan MB Selangor adalah melibatkan isu penyusunan, pengaturan dan perlaksanaan strategi politik yang jelas di bawah bidangkuasa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sepertimana yang diperuntukan di bawah Fasal 26 (9) (a) Perlembagaan PAS.

10. LUHAM kembali merujuk kepada dua (2) prasyarat di dalam Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS yang tidak pun dipenuhi sebelum MSU mengeluarkan penafsiran tersebut. Ini adalah kerana kuasa Presiden adalah jelas dinyatakan secara bertulis di dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS. Oleh itu, jika MSU ingin menambah kuasa Presiden yang tidak dinyatakan secara bertulis di dalam perlembagaan, maka perlulah dibuat pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut di dalam Muktamar.

ISU KEDUA

11. Isu ini melibatkan kuasa Presiden dalam kerangka Perlembagaan PAS. LUHAM merasa terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi berkenaan isu kedua ini kerana LUHAM berpendapat MSU, dengan penuh hormat, telah membuat kenyataan yang tidak tepat mengenai kuasa Presiden dalam kenyataan rasmi MSU yang dibuat pada 7hb September 2014.

12. Dalam kenyataan rasminya itu, MSU menyatakan bahawa Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS. Dalam konteks isu pemilihan MB Selangor, kenyataan MSU itu boleh difahami bahawa kuasa Presiden sebagai kuasa pemutus termasuk kuasa beliau membuat keputusan memutuskan siapakah calon MB Selangor yang beliau rasakan wajar diangkat kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan keputusan beliau itu adalah mewakili keputusan PAS dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam PAS. Dengan perkataan lain kuasa pemutus Presiden yang ditafsirkan oleh MSU adalah termasuk kuasa membuat apa-apa keputusan tanpa bermesyuarat atau berunding dengan anggota angota permesyuaratan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

13. Dalam konteks fakta kes yang melatari kenyataan MSU itu, MSU berpendapat meskipun selepas mesyuarat pada 17hb dan 25hb Ogos 2014 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bermesyuarat dan membuat keputusan berhubung isu pelantikan MB Selangor, sebarang keputusan oleh Presiden secara bersendiri tanpa merujuk dan tanpa mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selepas kedua-dua tarikh tersebut termasuk membuat keputusan yang sama sekali berbeza dari segi matan dan ruh keputusan pada kedua-dua tarikh tersebut adalah sah dan mesti dipatuhi.

14. Lanjutan dari kuasa pemutus Presiden yang ditafsirkan oleh MSU tersebut, maka MSU juga menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat menjalankan arahan dan tugas oleh Presiden tersebut sebagaimana yang diperuntukan di dalam Fasal 26 (9) (m) Perlembagaan PAS.

15. Dengan penuh hormat, LUHAM berpendapat, tafsiran yang diberikan oleh MSU berkenaan kuasa Presiden tersebut dibuat atas premis yang salah maka kenyataan yang keluar dari premis yang salah itu amat amat sukar untuk dipertahankan.

16. Kenyataan MSU berhubung kuasa pemutus Presiden tersebut dibuat atas premis jawatan Presiden dalam Perlembagaan PAS adalah satu jawatan yang berdiri secara sendiri dan terpisah dengan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Kenyataan MSU malangnya bertentangan sama sekali dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan PAS dan juga bertentangan dengan ruh, matan dan niat Perlembagaan PAS itu sendiri.

17. LUHAM berpendapat tidak wujud apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan PAS mengenai jawatan Presiden secara bersendiri. Sebaliknya jawatan Presiden PAS adalah termasuk dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS iaitu dibawah kepala "Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat".

18. Jika dilihat kepada Fasal 26 tersebut, adalah jelas bahawa jawatan Presiden diletakkan di bawah satu bumbung Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di mana Presiden adalah salah satu anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tersebut disamping Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausahan Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dipilih dalam Muktamar PAS dan dilantik berdasarkan Perlembagaan PAS.

19. Fasal 25 (1) Perlembagaan PAS secara jelas menyatakan keanggotaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di mana salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja tersebut adalah Presiden PAS.

20. Berdasarkan Fasal 25 dan 26 Perlembagaan PAS tersebut, adalah jelas niat penggubal Perlembagaan PAS adalah tidak memisahkan jawatan Presiden dari Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan bertolak dari hal tersebut, idea bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara dengan mengenepikan anggota-anggota permesyuaratan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah suatu yang amat asing dalam PAS dan secara jelas tidak mengikuti peruntukan jelas, ruh dan niat Perlembagaan PAS .

21. Memandangkan jawatan Presiden termasuk dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Perlembagaan PAS mempromosi prinsip konsultasi dan permesyuaratan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat maka apa sahaja peruntukan yang menggariskan kuasa dan peranan Presiden dalam Perlembagaan PAS harus dibaca atas prinsip yang dinyatakan tersebut.

22. Apatah lagi, Fasal 27 (5) Perlembagaan PAS sendiri mengesahkan bahawa Dewan Harian (di mana Presiden sendiri adalah termasuk di dalam Dewan Harian) hanya melaksanakan tugas-tugas yang diperturunkan kuasanya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Oleh itu, mana mungkin ahli-ahli Dewan Harian melangkaui tugas-tugas yang diperturunkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kepadanya.

23. LUHAM juga berpendapat apa sahaja peruntukan mengenai kuasa dan peranan Presiden harus dibaca secara harmoni dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan PAS bagi mencapai hasrat dan prinsip yang digariskan tersebut.

24. Oleh itu LUHAM berpendapat bahwa MSU, dengan penuh hormat, telah tersilap menyatakan bahawa kuasa Presiden di bawah Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah satu kuasa pemutus yang secara tersiratnya satu kuasa yang bersifat mutlak atau “veto”. Dengan lain perkataan, jika kita menerima tafsiran MSU tersebut, Presiden mempunyai kuasa membuat apa-apa keputusan di luar mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sekaligus menjadikan peranan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak lagi relevan.

25. Hakikat bahawa Presiden sewajarnya mengamalkan prinsip permesyuaratan dan konsultasi dengan anggota-angota lain dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat boleh dilihat dalam beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan PAS Pusat.

26. Sebagai contoh di dalam Fasal 26 (1) (c), meskipun ia termasuk dalam peruntukan mengenai kuasa Presiden, Fasal tersebut menyatakan bahawa persetujuan mesyuarat Kerja PAS Pusat perlu diperolehi dalam pelantikan jawatan jawatan tertentu dalam PAS.

27. Jika dilihat kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepada Timbalan Presiden PAS dan Naib-naib Presiden PAS sepertimana yang diperuntukan masing masing di bawah Fasal 26 (2) (a) dan (3) (a) Perlembagaan PAS adalah bagi membantu tugas-tugas Presiden. Bagaimanakah Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden boleh menjalankan peranan mereka bagi membantu Presiden bagi membuat atau mencapai satu keputusan jika mereka tidak dilibatkan dalam mesyuarat bagi membuat satu-satu keputusan bagi kepentingan parti?

28. Begitu juga jika dilihat kepada Fasal 27 iaitu peruntukan mengenai tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Pusat, yang mana Presiden salah seorang anggota Jawatankuasa Harian tersebut, adalah jelas di bawah Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS, diperuntukan "semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut ceraian (1) , (2), (3) dan (4) fasal ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”

29. LUHAM berpendapat, berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas dan juga peruntukan yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa jawatan Presiden tidak mempunyai kuasa pemutus di luar mesyuarat atau tanpa bermesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terlebih dahulu mengenai apa sahaja perkara sehingga ke tahap Presiden tidak perlu mengendahkan atau memanggil atau mengadakan mesyuarat terlebih dahulu dengan anggota-anggota lain di dalam Jawankuasa Kerja PAS Pusat.

30. Berdasarkan kepada Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS yang dinyatakan di atas, adalah jelas dinyatakan bahawa keputusan Dewan Harian yang merangkumi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung dan sebagainya perlu membawa keputusan mereka kepada Jawatankuasa kerja PAS Pusat untuk kelulusan. Justeru, adalah aneh sekali apabila Presiden secara tiba-tiba boleh bertindak seorang diri melangkaui kuasa Dewan Harian mahupun kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menurunkan kuasa kepadanya. Lebih-lebih lagi, keputusan mengenai mencalonkan calon MB di kalangan ADUN PAS juga dibuat tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada ahli-ahli Dewan Harian yang lain.

31. LUHAM berpendapat sebarang tafsiran yang membenarkan Presiden bertindak hingga ke tahap yang dinyatakan tersebut adalah bercanggah dengan ruh, matan dan niat Perlembagaan PAS.

32. LUHAM juga berpendapat jawatan Presiden dalam PAS adalah berkonsep "Constitutional Presidency" (Presiden Berperlembagaan) iaitu kuasa dan peranannya dihadkan oleh Perlembagaan maka sebarang tafsiran yang keluar dari konsep atau doktrin tersebut adalah tafsiran yang amat asing dan tidak boleh dipertahankan ("unsustainable").

33. Sayugia dinyatakan di sini, dalam menafsirkan Perlembagaan khususnya yang menyentuh isu kuasa dan bagaimana kuasa itu dilaksanakan nasihat dari Lord Acton yang dinukilkan oleh Almarhum Y.M Raja Azlan Shah dalam kes Sri Lempah Enteprise v Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan amat relevan untuk diperhati " Power corrupts and absolute power corrupts absolutely".

34. LUHAM juga ingin merujuk kepada petikan Kertas Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1983 di mana pindaan telah dibuat untuk tidak memusatkan kuasa kepada Presiden (secara bersendirian atau tanpa bermesyuarat dan mencapai persetujuan dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terlebih dahulu). Pindaan dibuat untuk mengubahsuai beberapa perkara yang berkaitan dengan tugas Presiden untuk mewujudkan tanggungjawab bersama dan berasaskan syura dalam mengendalikan urusan parti dan menghapuskan pemusatan kuasa kepada individu yang boleh menghalang segala langkah dan tindakan yang boleh diambil melalui syura.

35. Penjelasan yang diberikan oleh LUHAM ini dibuat demi kebaikan parti dalam jangka masa yang panjang. LUHAM khuatir kita akan membuat duluan (precedent) yang tidak baik kepada generasi selepas ini yang memungkinkan mereka mengikut duluan ini tanpa usul periksa yang akhirnya membuatkan parti huru-hara dan hilang integritinya sebagai parti yang berprinsip dan Jemaah yang berdisiplin.

36. LUHAM sama sekali tidak merendahkan ketinggian MSU dalam PAS. Namun sebagai lajnah yang diamanahkan dalam isu-isu perundangan, maka adalah menjadi tanggungjawab LUHAM untuk memberi pandangan atau menegur sesuatu yang dilihat melanggar peruntukan perlembagaan yang kita semua sepakati bersama, walaupun teguran ini agak pahit untuk ditelan.

37. Kenyataan rasmi ini adalah mewakili LUHAM di mana ahli lajnahnya secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala keputusan, pandangan dan komentar seperti yang dinyatakan di sini.

Sekian, terima kasih.

Bertarikh pada 9hb September 2014.


Yang menjalankan amanah,

ABANG AHMAD KARDEE ABANG MASAGUS
Setiausaha
Lajnah Undang-Undang Dan Hak Asasi PAS Pusat

KENYATAAN MEDIA IKATAN ILMUAN NASIONAL (ILMUAN)

KUASA PRESIDEN PAS DALAM MENCADANGKAN TIGA NAMA SEBAGAI CALON MENTERI BESAR SELANGOR KEPADA SULTAN SELANGOR


Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) mengikuti dengan rapat perkembangan semasa isu Menteri Besar (MB) Selangor, seperti mana kenyataan media awal Ilmuan bertarikh 4 Ogos 2014 yang lalu. Perkembangan isu MB Selangor ini semakin menarik dalam masa terkini kerana ianya juga telah melimpah dan menyebabkan perbahasan dalaman PAS, terutama melibatkan bidang kuasa Presiden PAS, YB Dato’Seri Abdul Hadi Awang.

Ilmuan telah meneliti perkara-perkara yang berkaitan berkenaan isu di atas:

Fasal 26(1) Perlembagaan PAS. – Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – Presiden.

Fasal 8(1)(a) Perlembagaan PAS – Majlis Syura Ulamak.

Fasal 26(9)(m) Perlembagaan PAS – Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.

Titah DYMM Sultan Selangor melalui surat yang bertarikh 27 Ogos 2014.

Kenyataan sokongan Dewan Ulama PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang menyokong hak YB Dato’ Seri Presiden untuk mengguna pakai kuasanya sebagaimana di peruntukkan oleh Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

Kenyataan sokongan Majlis Syura Ulama PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang mengesahkan YB Dato’Seri Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti sesuai dengan Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

Berdasarkan rujukan-rujukan di atas, Ilmuan berpandangan:

Fasal 26(1) telah memberi peruntukan yang amat jelas tanggungjawab Presiden dalam melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukan dan juga bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan mengenainya.

Walau bagaimanapun Fasal 26(1) haruslah dibaca bersama Fasal 8(1)(a) yang terpakai dalam situasi wujudnya kesamaran dalam maksud dan tujuan peruntukan fasal 26 (1) ini digubal. Dengan erti kata lain, Majlis Syura Ulama' diberi kuasa di bawah fasal 8 (1)(a) untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan peruntukan fasal 26 (1) tersebut seterusnya membuat ketetapan mengenainya. Secara khususnya, Majlis Syura Ulama' mempunyai kuasa untuk mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan "bertanggungjawab sebagai ketua".


Merujuk kepada Fasal 8 (1)(a), Ilmuan seterusnya berpandangan bahawa mekanisma yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan bagi Majlis Syura Ulama' melaksanakan kuasa mereka dalam menjelas, menghurai dan menafsir peruntukan Fasal 26 (1) adalah melalui “purposive approach”. Dengan erti kata lain, peruntukan ini dilihat memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama' dalam menjelas, menghurai dan menafsirkan kesamaran dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS dengan melihat kepada semangat (spirit) PAS itu sendiri.

Ilmuan juga berpandangan bahawa YB Dato’ Seri Presiden berada dalam kekangan waktu yang amat terhad, berlegar antara tarikh titah DYMM Sultan Selangor pada 27 Ogos 2014 dan tarikh tutup penghantaran tiga nama calon MB, iaitu pada 3 September 2014. Ini disulitkan lagi dengan cuti umum Hari Kemerdekaan yang berlaku dalam tempoh yang sama.

Maka dalam situasi yang terbatas ini adalah tepat YB Dato’ Seri Presiden mengguna pakai kuasa dan hak beliau selaku Presiden PAS seperti mana yang termaktub di dalam Fasal-Fasal yang tersebut di atas.

Justeru itu, Ilmuan dengan ini berpendapat bahawa tindakan mencalonkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada DYMM Sultan Selangor oleh YB Dato’Seri Presiden adalah tepat dan tidak melanggari mana-mana peruntukkan perlembagaan PAS. Apatah lagi tindakan YB Dato’ Seri Presiden ini adalah bagi memenuhi titah DYMM Sultan Selangor yang menitahkan agar lebih dari dua nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar.

AMINUDDIN OMAR
Ketua Kluster Undang-Undang, Ilmuan
Bangi, Selangor Darul Ehsan.

9 September 2014

14 Zulkaedah 1435 H

7 comments:

  1. Yg sebetulnye dh tk sekata, x pyh susah2 nk bukak buku undang2 ke nk bahas ke... buang masa je .....

    ReplyDelete
  2. Dah jelas hj hadi tak faham perlembagaan..

    ReplyDelete
  3. Haron din UG pun tak faham perlembagaan

    ReplyDelete
  4. Takiri dan vellfire pun tak reti perlembagaan tapi cakap berdegar degar.. malulah ularmak

    ReplyDelete
  5. Jelas sekali puak UG ni walaupun serban besar tapi tak membaca.. perlembagaan parti pun langgar.. buat kerja dan kenyataan ikut sedap nafsu dia org aje

    ReplyDelete
  6. Pembaca budiman jaga jaga dengan siber umnu dan puak UG yg sedang bekerjasama untuk memecah belahkan pakatan.. mereka dah ramai dalam blog blog pakatan yg ditugaskan untuk beri komen fitnah

    ReplyDelete
  7. Terima kasih Omakau kerana article yg seimbang. Yg tak faham tu tak dapek nak tolong.

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...