Saturday 21 June 2014

ISU PJ SENTRAL ... AUDIT DALAMAN PKNS GAGAL MENYOAL AZMIN ATAS ALASAN KESUKARAN MENDAPATKAN TARIKH DAN MASA YANG SESUAI.



Bahagian Audit Dalaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) gagal mendapatkan penjelasan daripada ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali bagi mendapatkan penjelasan beliau berhubung isu membabitkan anak syarikatnya PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) dalam transaksi berkaitan projek PJ Sentral Development (PJ Sentral).

Berdasarkan dokumen audit dalaman PKNS yang diperolehi The Malaysian Insider, pihak audit gagal meneruskan siasatan mereka ekoran "kesukaran mendapatkan tarikh yang sesuai" untuk bertemu Azmin yang juga ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif, untuk disiasat.

Pasukan audit hanya berjaya menghubungi setiausaha politik kepada Azmin, iaitu Hilman Idham.

"Temubual bersama Azmin sebagai ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif masih belum dapat dilaksanakan memandangkan kesukaran untuk mendapatkan tarikh yang sesuai," kata dokumen laporan audit tersebut.

Malah, bahagian audit dalaman dan Pemangku Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah mencadangkan supaya penyiasatan ini dilaksanakan oleh firma audit swasta sekiranya pengerusi PKNS bersetuju dengan perkara itu.

"Sekiranya pengerusi perbadanan memutuskan supaya siasatan lanjut perlu dibuat kerana ianya melibatkan isu-isu komersial dan perundangan," kata dokumen berkenaan.

Dokumen berkenaan turut merekodkan kegagalan mereka dalam setiap percubaan menghubungi Azmin sejak 11 April 2014 sehingga 22 Mei 2014.

Azlan sebelum ini berkata, satu arahan dikeluarkan kepada Jabatan Audit Dalaman PKNS untuk menjalankan siasatan secara terperinci, termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen daripada Azmin dan Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Kedua-dua mereka merupakan ahli Lembaga Pengarah PKNS Holdings yang mewakili PKNS.

Pada Februari lalu, PKNS kalah dalam samannya terhadap Nusa Gapurna Development Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) berhubung pelanggaran perjanjian pemegang saham berkaitan kepentingan dalam PJ Sentral Development Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hasnah Mohammed Hashim menolak saman itu selepas mendengar keterangan enam saksi dan memerintahkan PKNS membayar kos RM100,000 kepada Nusa Gapurna dan RM50,000 kepada MRCB.

Pada Jun tahun lalu, PKNS memfailkan saman terhadap dua syarikat itu dengan mendakwa Nusa Gapurna melanggar perjanjian pemegang saham antara pihaknya, Nusa Gapurna dan PJ Sentral.

PKNS bagaimanapun membuat rayuan dalam kes tersebut, memaklumkan akan memfailkan injunksi untuk menghentikan Nusa Gapurna daripada melengkapkan transaksi jualan saham PJ Sentral kepada MRCB sementara menunggu rayuan.

“Kami memerlukan maklumat ini antara lainnya untuk mengukuhkan kes rayuan PKNS di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini," kata Azlan.

“PKNS juga akan memfailkan injunksi untuk menghentikan Nusa Gapurna Development Sdn Bhd daripada melengkapkan transaksi jualan saham PJ Sentral kepada Malaysian Resources Corp Sdn Bhd (MRCB) sementara menunggu rayuan,” katanya lagi.

Dokumen audit dalaman PKNS itu turut mendedahkan, juruaudit menghantar pesanan khidmat ringkas (SMS) kepada Hilman untuk mendapatkan tarikh menemubual Azmin pada 22 Mei.

Jawapan balas daripada Hilman pada 22 Mei menyatakan: "Azmin memaklumkan beliau tidak terlibat di dalam PJ Sentral dan tidak menyimpan apa-apa dokumen berkaitan syarikat."

Namun juruaudit memaklumkan kepada Hilman, temubual bersama Azmin ini adalah berdasarkan kapasiti beliau sebagai ahli lembaga pengarah, bukan eksekutif dalam PJ Sentral bermula dari 2011.

Dokumen itu kemudiannya menyatakan, "Hilman akan memaklumkan semula kepada Azmin bagi mendapatkan tarikh temubual."

The Malaysian Insider cuba mendapatkan komen Azmin berhubung perkara itu namun beliau enggan memberikan sebarang ulasan.

"Sementara menunggu penetapan tarikh temubual, pihak audit mengambil inisiatif dengan mengemukakan surat rasmi kepada Azmin berhubung sesi temubual beliau," kata laporan audit berkenaan.

Projek PJ Sentral membabitkan pembangunan komersial di kawasan seluas 9,854 ekar yang menempatkan Ibu Pejabat PKNS.

Pada 6 September 2007, PKNS menjual 8.05 ekar kepada Bisraya Pembinaan Sdn Bhd dan dana itu digunakan bagi membiayai pembangunan Ibu Pejabat PKNS yang baru di kawasan tanah berbaki itu.

PHSB menjalinkan kerjasama dengan Nusa Gapurna dan membentuk sebuah syarikat untuk membangunkan PJ Sentral dengan pegangan saham 30% - 70%.

Menerusi syarikat kerjasama itu, PHSB diwakili oleh Azmin dan Norazlina yang masing-masing merupakan Ahli Lembaga Pengarah sejak dari tahun 2011 dan 2012.

Pada Februari 2013, Nusa Gapurna mengadakan perjanjian dengan MRCB untuk menjual 70% pegangan saham dalam PJ Sentral kepada MRCB melalui cadangan pemgambil alihan.

Pada 22 April 2013, Nusa Gapurna mengeluarkan notis kepada PHSB memaklumkan syarikat itu akan terbabit dalam penjualan saham PJ Sentral kepada MRCB dengan harga pertimbangan berjumlah RM85.3 juta.

2 comments:

  1. di HQ PKR, Anwar cukup bengang dengan apa yang dilakukan
    oleh Azmin dalam usaha mengekalkan tempat sebagai Lembaga Pengarah
    PKNS. Anwar tidak gemar kerana Azmin berupaya menggunakan Sidang DUN
    sebagai tempat meletakkan dirinya sebagai anggota Lembaga Pengarah.
    Anwar tak lihat ini sebagai contoh ketelusan tetapi sebagai lambang
    tamak haloba Azmin yang mahukan hak RM7 juta anak buahnya mendapat
    kerja di PKNS dikekalkan.
    Pada Anwar, ini adalah langkah Azmin memberi amaran bahawa dia mampu
    mempengaruhi DUN untuk membuat keputusan apa yang dia mahu.
    Jangan lupa, baru awal minggu ini Speaker DUN menolak soalan-soalan
    ADUN Kajang yang gagal memenuhi peraturan mesyuarat. Katanya, insiden
    ini memang tak dapat diterima Anwar.
    Wan Azizah dimalukan Speaker. Azmin menggunakan DUN sebagai kubu. Ini
    semua membuktikan di dalam DUN Selangor, Azmin adalah Chief
    Strategist. Tak ada orang yang lebih power.
    Malahan, ini memberikan indikasi, Azmin boleh jentik telur MB sampai
    senak. Habislah, kalau Azmin konar. PKR ke parit
    Keadilan Raya Untuk Semua.....Tiada jawatan dalam parti ada hati nak gantung dan pecat ahli. akai ada ka?.
    Istana Haprak Keadilan hanya bergantung pada sempati dan air mata

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...