Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau dilantik sebagai setiausaha agung Ikhwan Muslimin antarabangsa seperti dilaporkan sebuah akhbar Mesir, Al-Watan.
Dalam sidang media ringkas di lobi Parlimen hari ini, Abdul Hadi berkata parti itu sedang meneliti langkah sesuai mengikut lunas undang-undang berhubung laporan akhbar itu.

"PAS dengan ini ingin menafikan sekeras-kerasnya, berita berkenaan, yang kononnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dipilih sebagai pemimpin Ikhwan antarabangsa.

"Pihak PAS sedang meneliti langkah-langkah yang sesuai untuk diambil terhadap akhbar Al-Watan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang," kata Abdul Hadi kenyataan medianya.

Dalam terjemahan berita yang dilampirkan bersama kenyataan medianya, sumber asal berita yang diterjemah bertajuk "Tanzim Antarabangsa Ikhwan Mesir menarik diri dari kepimpinan Ikhwan: Memilih orang Malaysia sebagai setiausaha agung", datang daripada bekas pimpinan Ikhwanul Muslimin yang telah keluar daripada kumpulan itu iaitu Tharwat Kharbawi.

Tharwat dilaporkan mendakwa Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan organisasi itu di seluruh dunia selama tiga tahun.

Ia juga mendakwa Ikhwanul Muslimin antarabangsa memasukkan fasal baru dalam undang-undang tubuhnya yang kini mengiktiraf setiausaha agung antarabangsa sebagai mursyid (pemimpin kerohanian) sebenar pertubuhan itu.

Menurut terjemahan itu, mursyid jemaah kehormat Mesir kini dianggap sebagai satu jawatan simbolik sahaja..

Portal Harakahdaily semalam truut menyiarkan berita itu yang didakwa dikeluarkan akhbar yang dianggap pro-tentera Mesir.