Thursday 3 January 2013

MENJAWAB PERTUDUHAN DEEPAK, YANG TIDAK MENYERAHKAN INVOIS-INVOIS PEMBELIAN BARANG-BARANG KEMAS BERNILAI RM13 JUTA UNTUK ROSMAH MANSOR!!!!!



Deepak Menyerahkan Dokumen Kepada Orang Ketiga, Pihak Berkuasa Wajar Siasat

Saya sedia maklum reaksi Deepak Jaikishan mengenai dokumen-dokumen yang membabitkan syarikat-syarikat beliau yang kini didedahkan kepada umum.

Saya ingin mengesahkan beberapa perkara:

1. Saudara Deepak memang menyerahkan sendiri dokumen-dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan KEADILAN;

2. Beliau sebelum ini mendakwa dokumen-dokumen itu adalah bukti yang beliau ada mengenai salahlaku dan rasuah membabitkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor;

3. Selepas beberapa ketika, dokumen-dokumen itu diserahkan kepada saya oleh individu terbabit untuk disemak dan dipastikan kesahihannya, seperti amalan biasa di dalam KEADILAN;

4. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada seorang VIP tanpa ada bukti ada habuan atau projek yang terlibat;

5. Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM160 juta untuk membeli syarikat milik Saudara Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Saudara Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam;

6. Selepas menyemak dokumen-dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia ada asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya berpendapat kenyataan-kenyataan Saudara Deepak wajarlah dijadikan bukti dalam siasatan yang akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen-dokumen itu melibatkan syarikat beliau dan urusniaga syarikat beliau (termasuklah slip pemindahan wang dari akaun syarikat beliau).

Fakta-fakta ini tidak disanggah atau dinafikan oleh Saudara Deepak, sekadar enggan mengulasnya buat ketika ini.

Saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya juga telah berbincang dengan individu yang mendapat dokumen-dokumen ini dari Saudara Deepak dan beliau bersetuju untuk memberi keterangan bagi membuktikan bahawa dokumen-dokumen ini diperolehi dari Saudara Deepak.

Jelasnya, tindak tanduk dan tingkah laku Saudara Deepak sebelum ini tidak berkait dengan KEADILAN. Ia menyangkal percubaan Umno yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh KEADILAN. Saudara Deepak sendiri menyatakan kekecewaan beliau kerana saya dan beberapa pimpinan KEADILAN dilihatnya keberatan untuk duduk berbincang dengan beliau.

Oleh yang demikian, saya telah berbincang dengan pimpinan parti dan bersetuju bahawa saya boleh bertemu dengan Saudara Deepak untuk meneliti bukti-bukti yang beliau ada, seperti yang didakwa sebelum ini.

Saya akan mengaturkan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk mendengar perancangan beliau dan meneliti bukti-bukti yang didakwa beliau. Semoga ini akan membantu merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 JANUARI 2013

No comments:

Post a Comment

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...