Sunday 18 January 2015

PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK NS MATRIX LAWAN PERAK BERKESUDAHAN DENGAN PERGADUHAN MEMBABITKAN PENYOKONG KEDUA-DUA PASUKAN.



SEREMBAN - Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan NS Matrix dan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

Kejadian berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan menyebabkan dua lelaki cedera di bahagian muka dan kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut sumber, kejadian berpunca daripada seorang penyokong berusia 30-an secara tiba-tiba dipukul dua lelaki lain yang berada di stadium berkenaan.

“Kejadian dikatakan berpunca akibat perselisihan faham ketika masing-masing menyokong pasukan mereka.

“Seorang lelaki berusia 20-an yang melihat kejadian itu cuba mententeramkan keadaan, bagaimanapun dia turut diserang,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki yang menyerang itu kemudian melarikan diri, sementara kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk rawatan. Kedua-duanya bagaimanapun hanya menerima rawatan pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat serta punca sebenar,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong N9futbol kesal dengan insiden pergaduhan itu yang turut menjadi bua-lan hangat di beberapa media sosial.

Timbalannya, Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata, sepatutnya perlawanan persahabatan berlangsung penuh harmoni, apatah lagi ia merupakan perlawanan amal bagi mengutip dana untuk mangsa banjir.

Beliau berkata, tindakan kedua-dua pasukan penyokong sama ada dalam atau luar stadium boleh mencemarkan imej sukan bola sepak di negara ini.

“Sampai bila benda (kejadian) ini harus berlaku? Saya sedih dengan apa yang terjadi lebih-lebih lagi ketika perlawanan persahabatan semalam (kelmarin) dianjurkan bertujuan mengutip dana untuk mangsa banjir.

“Perlawanan amal pun ada penyokong yang bertindak di luar emosi, macam pula kalau perlawanan sebenar,” katanya di sini, semalam.

Malah, Mohd Faidzul  berkata, kejadian seperti itu turut menjejaskan imej negeri dan nama baik pasukan masing-masing.

"Penyokong sepatutnya mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan sama-sama berusaha membangunkan sukan sebagai satu medan perpaduan dalam masyarakat.

“Tapi bila jadi macam ini, ia sangat memalukan. Kena ingat balik, kenapa kita datang stadium? Kalau nak jadikan stadium tempat pergaduhan, jangan datang tengok bola,” katanya.

Mohd Faidzul juga percaya pergaduhan itu tiada kaitan dengan keputusan perlawanan semalam (kelmarin) tetapi disebabkan masalah peribadi antara penyokong.

No comments:

Post a Comment

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...